Lebih 1,000 anggota Hamas dirawat di hospital Turkiye

Lebih 1,000 anggota Hamas dirawat di hospital Turkiye

RECEP Tayyip Erdogan (kanan) bertemu dengan Kyriakos Mitsotakis di Istana Presiden di Ankara, Turkiye, semalam. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberitahu lebih 1,000 anggota kumpulan Hamas sedang dirawat di hospital di seluruh Turkiye.

Malah, beliau mengulangi pendiriannya bahawa Hamas adalah gerakan penentangan dan bukannya pengganas.

Bercakap pada sidang media selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis di Ankara, Erdogan juga berkata beliau sedih dengan pandangan Greek yang menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas.

Bagaimanapun, seorang pegawai Turkiye yang tidak mahu namanya disiarkan kemudian berkata bahawa kenyataan Erdogan merujuk kepada rakyat Palestin dari Gaza secara umum, bukannya ahli Hamas.

“Presiden Erdogan tersilap cakap, dia maksudkan 1,000 rakyat Gaza sedang dirawat, bukan ahli Hamas,” kata pegawai Turkiye itu.

Mitsotakis berkata, Greece dan Turkiye tidak boleh bersetuju dalam semua isu berkaitan perang di Gaza tetapi mereka boleh bersetuju bahawa keganasan mesti ditamatkan dan gencatan senjata jangka panjang diperlukan.

“Mari kita bersetuju untuk tidak bersetuju,” kata Mitsotakis, menjawab Erdogan.

Erdogan memberitahu Mitsotakis bahawa tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan antara Ankara dan Athens.

Turkiye dan Greece, sekutu NATO dan musuh bersejarah, sudah lama berselisih dalam isu termasuk sempadan maritim, sumber tenaga di timur Mediterranean, penerbangan merentasi Laut Aegean, dan Cyprus yang berpecah secara etnik.

Selepas bertahun-tahun ketegangan yang membawa kedua-duanya ke ambang konflik, mereka mula mengambil langkah berprofil tinggi untuk memperbaiki hubungan terutama sejak kedua-dua pemimpin dipilih semula tahun lalu.

“Walaupun terdapat perselisihan faham, kami menumpukan pada agenda positif dengan memastikan saluran dialog kami terbuka,” kata Erdogan pada sidang akhbar bersama dengan Mitsotakis.

Mitsotakis berkata, pertemuan kerap para pemimpin dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah membuktikan bahawa berjiran boleh mewujudkan pendekatan persefahaman bersama, bukan sebagai pengecualian tetapi sebagai normaliti yang produktif.

“Kami menunjukkan hari ini bahawa di samping perselisihan pendapat kami yang terbukti, kami boleh melakarkan halaman perjanjian yang selari,” tambahnya.

Erdogan melawat Athens pada Disember lalu dan kedua-dua negara menandatangani Deklarasi Athens yang bertujuan untuk menetapkan asas bagi peta jalan untuk memulakan semula hubungan.

Mereka bersetuju untuk meningkatkan perdagangan, memastikan saluran komunikasi terbuka, menjalankan langkah membina keyakinan ketenteraan untuk mengurangkan ketegangan, dan menyelesaikan masalah yang telah memisahkan mereka.

Pada Ahad lalu, Mitsotakis memberitahu akhbar harian Turkiye, Milliyet bahawa lawatannya ke Ankara yang pertama dalam lima tahun adalah peluang untuk menilai kemajuan dan mengulangi komitmen Athens untuk memperbaiki hubungan.

Erdogan, bercakap kepada akhbar Yunani, Kathimerini Ahad lalu berkata, matlamat utama adalah untuk meningkatkan tahap hubungan dua hala kami ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sambil menambah jiran mempunyai banyak isu yang boleh mereka persetujui semasa mencari penyelesaian kepada masalah mereka.

Bagaimanapun, sekutu itu tetap bertelagah dalam beberapa isu termasuk bidang kuasa maritim.

Rancangan Greece untuk membina taman marin di Aegean yang dikatakan untuk tujuan alam sekitar mengecewakan Turki manakala Athens kecewa dengan keputusan Turkiye untuk menjadikan gereja Chora purba yang sebelum ini muzium selama beberapa dekad, menjadi sebuah masjid. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN