KATHMANDU: Pendaki Nepal, Kami Rita Sherpa mencapai puncak Gunung Everest buat kali ke-29, memecahkan rekodnya sendiri untuk mendaki puncak gunung tertinggi terbanyak di dunia.
Penganjur ekspedisinya, Mingma Sherpa dari Seven Summit Treks berkata, Kami Rita mencapai puncak pagi ini.
“Kini, Kami Rita mencipta rekod baharu dengan 29 puncak Everest,” katanya.
Jurupandu arah, Kami Rita juga dikenali sebagai ‘Everest Man’, pertama kali mendaki puncak 8,849 meter pada tahun 1994 ketika bekerja untuk ekspedisi komersial.
Sejak itu, dia mendaki Everest hampir setiap tahun, membimbing pelanggan.
Tidak jelas sama ada dia mempunyai pelanggan bersamanya sewaktu mencipta rekod berkenaan, semalam.
“Kembali lagi untuk kemuncak ke-29 di puncak dunia… Pekerjaan seorang lelaki, satu lagi impian lelaki atau wanita,” tulis Kami Rita di Instagramnya dari kem pangkalan minggu lalu.
Tahun lalu, Kami Rita mendaki Everest dua kali untuk menuntut semula rekodnya selepas jurupandu arah lain, Pasang Dawa Sherpa, menyamai jumlah pendakiannya.
Kami Rita, 54, sebelum ini berkata bahawa dia hanya bekerja dan tidak merancang untuk membuat rekod.
Beliau juga menakluki puncak 8,000 meter yang mencabar termasuk gunung kedua tertinggi di dunia, K2 di Pakistan.
Nepal mengeluarkan 414 permit Everest kepada pendaki gunung untuk musim pendakian musim bunga tahun ini yang berlangsung dari April hingga awal Jun.
Kebanyakan pendaki Everest diiringi oleh jurupandu arah Nepal, bermakna lebih 800 pendaki akan melalui laluan ke puncak puncak tertinggi dunia dalam beberapa minggu akan datang selepas sekumpulan pendaki Nepal membuka laluan ke puncak pada Jumaat lalu.
Tahun ini, China juga membuka semula laluan Tibet kepada warga asing buat kali pertama sejak menutupnya pada 2020 kerana wabak koronavirus. –AFP










