Israel tingkatkan serangan, bom kem pelarian 

Israel tingkatkan serangan, bom kem pelarian 

PASUKAN pertahanan awam dan penduduk menjalankan operasi mencari dan menyelamat di tempat kejadian bangunan yang runtuh selepas serangan Israel ke atas kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza. -Al Jazeera
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel meningkatkan serangan di seluruh Gaza, mengebom kem pelarian di tengah-tengah semenanjung ketika kereta kebal bergerak lebih jauh ke bahagian timur bandar Rafah di selatan.

Di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, pesawat pejuang Israel menyerang sebuah rumah semalam, membunuh sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, lapor agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Tentera Israel mengarahkan lebih ramai penduduk berpindah di bahagian utara, di mana pertempuran antara askar Israel dan pejuang Hamas disambung semula sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas Israel menghantar semula tentera ke kawasan itu, beberapa bulan selepas mendakwa ia mengalahkan Hamas di sana.

Kereta kebal Israel, jentolak dan kenderaan berperisai mengepung zon pemindahan dan tempat perlindungan di kem pelarian Jabalia, kem pelarian terbesar di utara, kini sebahagian besarnya musnah.

Pertempuran senjata api sengit berterusan semalam di kem pelarian itu.

Di Rafah, yang bersempadan dengan Mesir, penduduk Palestin berkata, mereka dapat melihat asap berkepul-kepul di atas daerah timur bandar itu dan mendengar letupan selepas Israel mengebom beberapa buah rumah.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Qassam pula berkata, mereka memusnahkan sebuah kapal terbang pengangkut tentera Israel dengan peluru berpandu Al-Yassin 105 di daerah as-Salam timur, membunuh beberapa anak kapal dan mencederakan yang lain.

Tiada komen segera daripada tentera Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih setengah juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal sejak beberapa hari kebelakangan ini dengan meningkatkan operasi ketenteraan Israel di selatan dan utara Gaza.

Arahan pemindahan di utara menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 orang kehilangan tempat tinggal setakat ini, kata Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq kepada pemberita.

Di bandar Rafah di selatan Gaza di mana operasi darat Israel yang dikritik secara meluas sedang dijalankan, dianggarkan 450,000 rakyat Palestin  dihalau keluar dari bandar itu sejak seminggu lalu, menurut agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA).

Lebih 1.5 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan di bandar paling selatan Rafah, selepas mereka terpaksa meninggalkan kediaman mereka di bahagian lain Gaza yang telah diserang oleh serangan Israel sejak Oktober. -Al Jazeera

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya