Titah Adendum: Tengku Zafrul mohon kebenaran fail afidavit

Titah Adendum: Tengku Zafrul mohon kebenaran fail afidavit

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menghantar surat kepada mahkamah bagi memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit membetulkan fakta dalam afidavit yang difailkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Afidavit oleh Ahmad Zahid itu adalah berkaitan dengan perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Permohonan itu dinyatakan dalam sepucuk surat oleh firma guaman mewakili Tengku Zafrul iaitu Tetuan Cecil, Abraham & Partners dan dihantar kepada Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 8.59 pagi tadi melalui sistem e-filing mahkamah. Salinan surat tersebut dilihat media tengah hari tadi.

Surat tersebut turut disalinkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jabatan Peguam Negara dan firma guaman mewakili Najib, Tetuan Shafee & Co.

Menurut surat tersebut, terdapat terdapat ketidaktepatan fakta pada perenggan enam afidavit tambahan Ahmad Zahid yang perlu diperbetulkan mengikut Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Perenggan enam itu menyebut: “Pada 30 Januari 2024 semasa pertemuan di rumah saya di Country Heights dengan Yang Berhormat Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri), saya telah dimaklumkan oleh beliau tentang kewujudan Titah Adendum.

“Apabila saya menyoal lebih lanjut, beliau kemudiannya menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum tersebut pada telefonnya yang beliau ambil gambar/imbas (scan) sendiri daripada salinan asal seperti yang ditunjukkan kepadanya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

“Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan bahawa Pemohon dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan, kepada “tahanan rumah” dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang. Saya juga melihat bahawa Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 dan mempunyai meterai dan tandatangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

“Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama.”

Tambah firma tersebut, mereka juga telah diarahkan oleh Tengku Zafrul untuk tidak membuat sebarang pendirian dalam merit permohonan Najib itu sebaliknya hanya ingin memastikan fakta-fakta dikemukakan dengan tepat dan secara neutral.

“Kami berhadap agar mahkamah akan pertimbangkan dan membenarkan permohonan kebenaran bertulis ini untuk memfailkan afidavit atas alasan yang dinyatakan di atas,” ujar surat terbabit.

Pada 17 April lalu, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan memaklumkan akan membuat pembetulan fakta terhadap afidavit tambahan oleh Ahmad Zahid antara lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum (tambahan) namun tidak mendedahkan kesilapan fakta yang dimaksudkan.

Menurut afidavit tambahan yang difailkan oleh Ahmad Zahid pada 9 April lalu, selain mengesahkan telah melihat dan membaca Titah Adendum tersebut, Ahmad Zahid turut menyatakan selain dirinya dan Tengku Zafrul; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anggota kerajaan lain telah melihat salinan Titah Adendum tersebut dan boleh mengesahkan perkara sama.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai salinan titah tersebut memandangkan titah berhubung tahanan dalam rumah itu belum dilaksanakan namun percaya bahawa Peguam Negara mempunyai salinan titah tersebut.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan (titah Adendum) yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit yang difailkan, Najib mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari lalu.

Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan ‘titah utama’ iaitu supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini.

Pada 14 Februari, Najib te­lah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada Peguam Negara yang turut di­salinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid bagi memohon pengesahan berhubung Titah Adendum tersebut.

Peguam Najib turut memohon salinan asal titah utama dari Penjara Kajang tetapi tidak dijawab sehingga kini.

Najib mendakwa, kegagalan kesemua responden menjawab surat atau mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu adalah sesuatu yang tidak rasional, tidak munasabah, me­nyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh telah menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan terhadap permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN