KUALA LUMPUR: Seorang individu yang disifatkan sebagai `saksi kritikal’ akan menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak berhubung titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di rumahnya.
Bagaimanapun, afidavit sokongan saksi yang tidak didedahkan identitinya itu hanya boleh ditandatangani lepas individu terbabit pulang dari Mekah.
Perkara itu dimaklumkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 April ini untuk mendengar permohonan semakan tersebut dan turut mengarahkan peguam itu untuk memfailkan hujahan selewet-lewatnya 15 April ini.
Pada prosiding hari ini, Peguam Negara yang dinamakan Najib sebagai salah seorang responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan diwakili Ahmad Hanir Hambaly.
Selain Peguam Negara, turut dinamakan sebagai responden ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) sebagai responden pertama hingga kelima.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden keenam dan ketujuh.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan (titah adendum) yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada “tahanan di rumah” dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit yang difailkan, Najib mendakwa menerima `maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu.
Menurut penyataan yang difailkan, pada 1 September 2022, Najib melalui peguamnya memfailkan petisyen memohon pengampunan penuh terhadap sabitan salah dan hukuman penjara serta denda selepas didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.
Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, YDPA mengeluarkan ‘titah utama’ iaitu supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini.
Pada 14 Februari, Najib telah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada Peguam Negara yang turut disalinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memohon pengesahan berhubung titah adendum tersebut.
Peguam Najib turut memohon salinan asal titah utama dari Penjara Kajang tetapi tidak dijawab sehingga kini.
Najib mendakwa, kegagalan kesemua responden menjawab surat atau mengesahkan kewujudan titah adendum itu adalah sesuatu yang tidak rasional, tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pada sidang Parlimen 7 Mac lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera) ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja memohon penjelasan daripada kerajaan berhubung isu penukaran tempat tahanan membabitkan Najib.
Ismail menyataka bahawa beliau difahamkan wujud lampiran supaya bekas Ahli Parlimen Pekan itu ditukarkan tempat tahanan dari Penjara Kajang ke tahanan di rumah sewaktu membuat rayuan pengampunan.-UTUSAN







