Nicaragua heret Jerman ke ICJ atas tuduhan mudahkan genosid

Nicaragua heret Jerman ke ICJ atas tuduhan mudahkan genosid rakyat Palestin

NICARAGUA mahu Jerman segera henti memberi bantuan terhadap Israel. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Jerman berdepan pertuduhan dari Nicaragua di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini bahawa mereka memudahkan pelakuan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dengan sokongan ketenteraan dan politiknya untuk Israel.

Nicaragua membawa Jerman ke ICJ yang menuntut hakim mengenakan langkah kecemasan bagi menghentikan negara itu daripada memberikan Israel senjata dan bantuan lain.

Jerman bagaimanapun membalas dakwaan itu dengan jurucakap Kementerian Luar Jerman, Sebastian Fischer memberitahu pemberita sebelum perbicaraan bahawa pihaknya menolak dakwaan Nicaragua.

“Jerman tidak melanggar Konvensyen Genosid mahupun undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan kami akan menunjukkannya sepenuhnya di hadapan ICJ,” tambah Fischer.

Nicaragua menetapkan kesnya hari ini dengan Jerman akan bertindak balas pada hari berikutnya.

Dalam nota penyerahan 43 muka surat kepada mahkamah, Nicaragua berhujah bahawa Jerman melanggar Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948 yang ditubuhkan selepas Holocaust.

“Dengan menghantar peralatan ketenteraan dan kini menafikan UNRWA (agensi PBB untuk pelarian Palestin)… Jerman memudahkan pelakuan pembunuhan beramai-ramai,” kata nota penyerahan itu.

“Kegagalan Jerman adalah lebih tercela berkenaan dengan Israel memandangkan Jerman mempunyai hubungan istimewa yang diisytiharkan sendiri yang akan membolehkannya mempengaruhi kelakuannya,” tambah Nicaragua.

Nicaragua meminta ICJ memutuskan langkah sementara iaitu perintah kecemasan dikenakan sementara terhadap Jerman sementara mahkamah boleh mempertimbangkan kes yang lebih luas.

Adalah penting dan mendesak mahkamah memerintahkan langkah sedemikian memandangkan nyawa ratusan ribu orang terancam.

ICJ ditubuhkan untuk memerintah dalam pertikaian antara negara dan menjadi pemain utama dalam perang antara Israel dan militan Hamas yang meletus selepas serangan 7 Oktober lalu.

Dalam kes berasingan, Afrika Selatan menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun, Israel menafikan sekeras-kerasnya.

Dalam kes itu, mahkamah memerintahkan Israel melakukan segala-galanya untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai dan baru-baru ini memperkukuh pendiriannya, mengarahkan langkah tambahan yang mewajibkan Israel meningkatkan akses kepada bantuan kemanusiaan.

Keputusan mahkamah adalah mengikat tetapi ia tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan, contohnya ia mengarahkan Russia untuk menghentikan pencerobohannya ke atas Ukraine, tetapi tidak berjaya.

Nicaragua bagaimanapun meminta lima langkah sementara termasuk Jerman segera menangguhkan bantuannya kepada Israel, khususnya bantuan ketenteraannya termasuk peralatan ketenteraan.

Ia juga menyeru mahkamah untuk memerintahkan Jerman untuk menarik balik keputusannya untuk menggantung pembiayaan UNRWA.

Jerman berkata, pada Januari lalu, mereka menghentikan pembiayaan sementara menunggu siasatan terhadap tuduhan Israel bahawa beberapa kakitangan UNRWA mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober lalu.

Nicaragua berkata dalam penghujahannya bahawa boleh difahami Jerman akan menyokong reaksi yang sesuai terhadap rakan sekutunya, Israel terhadap serangan Hamas Oktober lalu.

“Tetapi ini tidak boleh menjadi alasan untuk bertindak melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Nicaragua.

Dalam pada itu, Jumaat lalu, Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock berkata bahawa Israel tiada lagi alasan untuk menangguhkan bantuan masuk ke Gaza.

Perang Gaza paling berdarah bermula dengan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel yang mengakibatkan kematian 1,170 warga Israel dan warga asing, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Pejuang Palestin turut mengambil kira-kira 250 tebusan, kira-kira 130 daripadanya kekal di Gaza, termasuk 34 yang dikatakan tentera sudah mati.

Kempen balas dendam Israel membunuh sekurang-kurangnya 33,175 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran tentang malapetaka kelaparan. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN