Mahkamah khilaf perintah Bung, Zizie bela diri - Hakim - Utusan Malaysia

Mahkamah khilaf perintah Bung, Zizie bela diri – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.8 juta dan bersubahat, sembilan tahun lalu.

Mahkamah Tinggi berpendirian, keputusan itu merupakan salah laksana keadilan terhadap kedua-duanya kerana perintah tersebut tidak selari dengan keterangan kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menyatakan, tiada bukti menunjukkan dua saksi material pendakwaan, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar memberi rasuah kepada Bung Moktar, 67, melalui Zizie Izette, 47.

Menurut beliau, selepas meneliti rekod prosiding, mahkamah mendapati tiada bukti menunjukkan kedua-dua saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 itu memberi rasuah kepada Bung Moktar melalui isterinya.

Hakim Azhar menyatakan demikian dalam alasan penghakiman bertarikh 20 April lalu yang diperoleh pihak media hari ini.

Pada hemat Hakim Azhar, meskipun ketiadaan bukti berhubung rasuah, hakim Mahkamah Sesyen memilih untuk menerima pernyataan saksi kedua-duanya yang direkodkan ketika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

“Hakim Mahkamah Sesyen berpendirian, keterangan lisan kedua-dua saksi itu tidak memberi kesan kepada pertuduhan yang dihadapi oleh Bung Moktar dan isteri,” demikian menurut penghakiman tersebut.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023 membenarkan permohonan Bung Moktar dan isteri untuk menyemak perintah Mahkamah Sesyen selepas memutuskan ia mempunyai bidang kuasa berbuat demikian.

Hakim Azhar berpuas hati, kes itu membolehkan beliau mengguna pakai Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk menyemak permohonan tersebut.

MEMBELA DIRI

Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan menerima rasuah dan bersubahat, diketepikan.

Sehubungan itu, Bung Moktar dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta manakala Zizie daripada pertuduhan bersubahat.

Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan yang akan didengar pada 29 Julai ini.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie  atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya