Netanyahu dakwa Israel selangkah untuk menang

Netanyahu dakwa Israel selangkah untuk menang

PENDUDUK Palestin menggunakan jalan yang dipenuhi dengan bangunan yang rosak dan musnah di Khan Younis pada 7 April lalu selepas Israel berundur dari selatan Gaza. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa Israel berada selangkah lagi untuk mencapai kemenangan dalam perang di Gaza dan berikrar tidak akan melaksanakan gencatan senjata sehingga Hamas membebaskan semua tebusan.

Beliau bercakap dalam mesyuarat Kabinet menandakan enam bulan perang yang tercetus sejak 7 Oktober lalu selepas serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh pejuang Hamas ke atas Israel.

“Kami selangkah lagi daripada kemenangan. Tetapi harga yang kami bayar adalah menyakitkan dan menyayat hati,” kata Neta­nyahu.

Bercakap ketika rundingan gencatan senjata dijangka disambung semula di Kaherah dengan pengantara antarabangsa, beliau berkata, tidak akan ada gencatan senjata tanpa pemulangan tebusan dan ia tidak akan berlaku.

Beliau menegaskan bahawa Israel bersedia untuk perjanjian, tetapi pihaknya tidak bersedia untuk menyerah.

“Daripada tekanan antarabangsa ditujukan kepada Israel yang hanya menyebabkan Hamas berdegil dan mengukuhkan kedudukannya, tekanan masyarakat antarabangsa harus ditujukan terhadap Hamas. Ini akan memajukan pembebasan tebusan,” jelasnya.

Rakyat Israel berhimpun di Tel Aviv mengadakan tunjuk perasaan menentang Netanyahu ketika perang Gaza mencecah setengah tahun.

Malah, kerajaan Israel juga menghadapi ribut kemarahan antarabangsa atas pembunuhan tujuh pekerja bantuan kemanusiaan, World Central Kitchen dalam serangan udara Gaza pada 1 April lalu.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dalam panggilan telefon dengan Netanyahu pada Khamis lalu menuntut gencatan senjata segera dan membayangkan soko­ngan bersyarat untuk menyekat pembunuhan orang awam dan memperbaiki keadaan kemanusiaan.

Sementara itu, Netanyahu menuduh Iran berada di belakang beberapa serangan terhadap Israel melalui proksinya.

“Sesiapa sahaja yang menyakiti kami atau merancang untuk me­nyakiti kami, kami akan menya­kitinya. Kami mengamalkan prinsip ini, sepanjang masa dan dalam beberapa hari kebelakangan ini,” tambah Netanyahu.

Kebimbangan bahawa perang di Gaza boleh merebak semakin menjadi-jadi selepas Iran berikrar untuk membalas dendam terhadap pembunuhan tujuh pengawal revolusinya.– CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN