GEORGE TOWN : Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Pulau Pinang 2024 menyasarkan jualan sebanyak RM35 juta menerusi pameran yang akan diadakan mulai 27 hingga 28 April ini di Pusat Konvensyen Spice, di sini.
Pengerusi MATTA Pulau Pinang, Carolyn Leong berkata, pameran itu dijangka dihadiri oleh kira-kira 40,000 pengunjung dari kawasan utara tanah air.
“Pada tahun lalu, MATTA Fair Pulau Pinang berjaya mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM29 juta dengan kehadiran pengunjung seramai 30,000 orang.
“Jadi, untuk penganjuran kali ini, kami sasarkan jumlah jualan sebanyak RM35 juta dan sasaran pengunjung seramai 40,000 orang berdasarkan minat orang ramai yang semakin meningkat untuk melancong di dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar sempena penganjuran MATTA Fair 2024, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai.
Menurut Carolyn, pada masa ini, jumlah gerai telah mencapai kapasiti iaitu 300 gerai dengan penyertaan daripada 100 syarikat.
“Pendaftaran untuk peserta pameran juga telah ditutup dan kami ingin memaklumkan bahawa gerai pameran telah ditempah sepenuhnya,” katanya yang yakin sasaran jualan itu mampu dicapai berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima daripada pelbagai pihak terhadap program berkenaan.
Mengulas lanjut, Carolyn berkata, ketika ini, pempamer yang menyertai MATTA FAIR 2024 itu terdiri daripada kalangan pemain industri pelancongan termasuk ejen pelancongan, pengusaha hotel, syarikat penerbangan, taman tema, spa serta industri berkaitan pelancongan yang lain.
“Selain itu, persatuan dan perancang acara perkahwinan serta banyak perniagaan kecil yang memainkan peranan penting dalam industri pelancongan turut menyertai pameran kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, Carolyn menambah, syarikat penerbangan MAS diumumkan sebagai syarikat penerbangan rasmi MATTA Fair Pulau Pinang 2024 dan mereka juga telah bermurah hati untuk menyumbangkan pelbagai hadiah menarik kepada pemenang bertuah.
“Dalam hal ini, MAS akan menawarkan tiket penerbangan promosi sehingga 20 peratus ke seluruh dunia menerusi penerbangan itu sendiri serta Firefly.
“Sehubungan itu, kami berharap agar orang ramai akan memberi sokongan mereka terhadap pameran ini dan membantu menyumbang kepada ekonomi negara menerusi pelancongan,” katanya.-UTUSAN










