CHENNAI: India mula mengundi pada hari ini dalam pilihan raya terbesar di dunia ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi mahu mengekalkan jawatannya buat penggal ketiga berturut-turut.
Lapor CNA, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi menentang pakatan kira-kira 24 parti pembangkang yang mencabarnya.
Pertandingan ini dikatakan satu keperluan untuk menyelamatkan institusi demokrasi daripada pemerintahan diktator Modi.
Undian yang melibatkan hampir satu bilion pengundi itu akan tersebar dalam tujuh fasa di seluruh negara paling ramai penduduk di dunia pada kemuncak musim panas.
Ia dijangka berakhir pada 1 Jun ini dan undian akhir akan dikira pada 4 Jun ini.
Pada hari ini, dalam fasa terbesar daripada tujuh fasa, 166 juta pengundi di 102 kawasan pilihan raya merentasi 21 negeri dan wilayah akan mengundi, termasuk di Tamil Nadu di selatan, Arunachal Pradesh di sempadan Himalaya dengan China dan Uttar Pradesh paling ramai penduduk di negara itu.
Pengundi mula berbaris di luar pusat mengundi sebelum pusat undi dibuka pada pukul 7 pagi di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat, termasuk warga emas yang memerlukan bantuan untuk sampai ke gerai.
Salah seorang pengundi di Kairana Uttar Pradesh, kira-kira 100km dari Delhi, Abdul Sattar, 32, berkata, Modi akan kembali berkuasa kerana selain daripada dorongan agama, kerjanya yang lain termasuk keselamatan adalah baik.
Mohammed Shabbir, seorang pemandu berusia 60 tahun dan bapa kepada lapan anak berkata, pengangguran adalah isu utama baginya kerana tiada seorang pun anaknya yang mempunyai pekerjaan tetap.
Katanya, Nasionalisme Hindu tidak menjadi isu dalam pilihan raya kali ini kerana penganut Hindu pun terjejas akibat kekurangan pekerjaan.










