Hakim Danish hadiah kemenangan buat rakyat Malaysia

Hakim Danish hadiah kemenangan buat rakyat Malaysia

HAKIM Danish bersama trofi yang dimenanginya selepas muncul naib juara pada perlumbaan 2 dalam aksi pembukaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Jerez, Sepanyol, semalam. - IHSAN ZK Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kemenangan ini untuk Malaysia.”

Itu kata-kata pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli sejurus selepas dia dinobatkan selaku naib juara dalam perlumbaan 2 pada Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Jerez, Sepanyol, semalam.

Anak jati Kuala Terengganu berusia 17 tahun itu sebenarnya hampir sahaja menamatkan saingan sebagai juara, namun, dia dipintas pada garisan penamat dan hanya dipisahkan setengah tayar berbanding pemenang, Alvaro Carpe dari Sepanyol yang mencatat masa terpantas 25 minit 40.711 saat (s).

Hakim Danish mencatat masa 25: 40.717s untuk berada di kedudukan kedua hanya ketinggalan enam saat di belakang Carpe, manakala, tempat ketiga pula menjadi milik seorang lagi pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang melakar masa 25: 40.785s.

HAKIM Danish dipintas pada saat akhir di garisan penamat oleh Alvaro Carpe dari Sepanyol pada perlumbaan 2 dalam aksi pembukaan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Jerez, Sepanyol, semalam.

Sewaktu ditemu bual seusai upacara penyampaian hadiah, anak muda itu berkata, dia akhirnya kembali menjejakkan kaki ke podium dan hampir sahaja menjuarai perlumbaan 2 tersebut.

“Dalam perlumbaan tadi saya bermula agak baik, tetapi sewaktu di selekoh trek agak licin kerana permukaan yang lembab.

“Tetapi, selepas itu saya kembali mendapat rentak dan cuba mengejar pelumba yang mendahului saingan, namun, saya sedikit bergelut kerana perlumbaan tadi agak laju dan Carpe berjaya memintas saya,” katanya yang pernah berada di kedudukan ketiga sewaktu saingan di Portimao, Portugal, musim lalu.

Memutuskan untuk mengekori rapat di belakang pencabarnya itu, Hakim Danish memberitahu, dia cuba meminta pelumba-pelumba di hadapan dan berjaya mendahului ketika saingan berbaki dua pusingan.

“Kami saling memintas antara satu sama lain, sehinggalah pada pusingan terakhir saya berjaya mendahului perlumbaan dan cuba kekalkan kedudukan, tetapi, Carpe sekali lagi pintas saya pada saat akhir,” ujarnya.

Bersyukur dengan pencapaian yang dicatatnya itu, Hakim Danish menambah, dia tidak sabar untuk beraksi dalam perlumbaan berikut di Le Mans, Perancis pada 11 dan 12 Mei ini.

Dalam pelumbaan 1 yang diadakan kelmarin, Hakim Danish sekadar melengkapkan aksinya di kedudukan kelapan dengan catatan masa 25: 63.844s.

Bagaimanapun, ekoran dikenakan penalti ‘track limits’, lakaran masa pelumba itu dipotong enam saat dan menyebabkan kedudukannya jatuh di tangga kesembilan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya