HYDERABAD: Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) sedang mengumpul maklumat mengenai produk pembuat rempah India, MDH dan Everest selepas Hong Kong menghentikan penjualan beberapa produk mereka.
FDA mendakwa produk keluaran kedua-dua syarikat berkenaan mengandungi racun perosak penyebab kanser tahap tinggi.
“FDA mengetahui laporan itu dan sedang mengumpulkan maklumat tambahan mengenai situasi itu,” katanya kepada Reuters.
Hong Kong bulan ini menggantung jualan tiga adunan rempah MDH dan campuran rempah Everest untuk kari ikan.
Singapura juga mengarahkan penarikan balik campuran rempah Everest dengan mengatakan ia mengandungi tahap tinggi etilena oksida yang tidak sesuai untuk dimakan manusia dan risiko kanser dengan pendedahan yang lama.
Reuters adalah yang pertama melaporkan semakan FDA AS terhadap dakwaan pencemaran produk rempah India.
Bagaimanapun, MDH dan Everest tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mengulas mengenai perkara ini.
Everest sebelum ini berkata, rempah ratusnya selamat untuk dimakan.
MDH pula belum menjawab pertanyaan tentang produknya setakat ini.
Rempah MDH dan Everest adalah antara yang paling popular di India dan juga dijual di Eropah, Asia dan Amerika Utara.
Pengawal selia makanan India, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Piawaian Makanan India (FSSAI), kini menyemak piawaian kualiti kedua-dua syarikat itu, berikutan langkah di Hong Kong dan Singapura.
Lembaga Rempah India, pengawal selia kerajaan untuk eksport rempah berkata, pihaknya mendapatkan data mengenai eksport MDH dan Everest daripada pihak berkuasa di Hong Kong dan Singapura serta sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat terlibat untuk mencari punca utama isu kualiti sebagai pemeriksaan, bermula di kilang mereka.
Pada tahun 2019, beberapa kelompok produk MDH ditarik balik di AS kerana pencemaran salmonella. -REUTERS










