PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) hanya meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu (KKB) sekiranya Pakatan Harapan (PH) memang tidak mahu bertanding.
Demikian tegas Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengulangi bahawa situasi semasa PRK bukannya seperti keadaan ketika pilihan raya umum (PRU).
“Ini cuma PRK sebab isu kematian penyandang, maka wakil parti yang sedia ada berbuat demikian kecuali jika mereka sendiri tidak mahu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 Wisma Putra di sini hari ini.
PRK Kuala Kubu Bharu kosong ekoran kematian Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian pada 11 Mei depan.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memberikan jaminan bahawa komponen parti dalam BN tidak akan meletakkan calon bertanding pada PRK itu.
“Keutamaan bagi mewakili Kerajaan Perpaduan ialah dari wakil parti penyandang dan sekiranya mereka memang tidak mahu, maka barulah pencalonan lain dibuka,” katanya.
Beliau memberikan contoh senario yang pernah berlaku ketika PRK di Simpang Jeram, Pulai, Pelangai dan Kemaman apabila parti-parti komponen tidak pula cuba meletakkan calon.
Ditanya apakah BN sudah mengadakan mesyuarat bagi menetapkan perkara itu, beliau berkata, ia terpulang kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Secara kelazimannya ujar Mohamad, Dewan Tertinggi BN akan melaksanakan mesyuarat tersebut selepas selesai sesi mesyuarat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO di ibu negara.
“Presiden UMNO selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kemudian akan membawa mandat daripada parti berkenaan kepada semua komponen BN,” katanya.
Justeru, beliau meminta ahli-ahli parti bertenang ekoran timbul spekulasi konon BN masih lagi berunding untuk PRK itu kerana belum mengadakan mesyuaratnya seperti kelaziman. – UTUSAN










