Syawal bakal menjelang tidak lama lagi dan tentunya masing-masing sibuk memborong baju dan kelengkapan raya untuk digayakan ketika lebaran.
Tetapi, tidak lengkap penampilan seseorang jika kulit kusam dan kurang bermaya.
Justeru, tidak hairanlah apabila rutin mencantikkan wajah semakin menjadi trend pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Tidak kira wanita atau lelaki, kedua-duanya berlumba-lumba melakukan rawatan di klinik estetik dan medispa.

Bagaimanapun, pakar estetik, Dr. Emma Diana Mohd. Salim berkata, tiada jalan pintas untuk seseorang memiliki kulit berseri dan sekata.
Namun, terdapat beberapa rawatan tidak menyakitkan yang boleh membantu menyerikan wajah dalam kadar pantas.
Antaranya, ialah rawatan pengelupasan kimia, microdermabrasion, High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) dan radiofrequency microneedling yang menawarkan kos bermula dari harga RM300 hingga RM2,000.
Katanya, keempat-empat rawatan itu memerlukan tempoh pemulihan (down time) antara kosong hingga 14 hari.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Perubatan Millenium Clinic Kuala Lumpur menyarankan pesakit untuk datang dalam tempoh satu hingga dua minggu sebelum Aidilfitri sekiranya ingin membuat rawatan kecantikan wajah.
“Ia penting supaya kulit dapat melalui proses pemulihan secukupnya dan tidak merah, mengelupas atau kusam pada hari raya.
“Jika kulit masih belum pulih, tentunya pesakit tidak boleh atau selesa untuk memakai solekan ketika menyambut Syawal nanti.
“Sebab itu saya selalu berpesan kepada pesakit untuk buat rawatan lebih awal dan bukan dua atau tiga hari sebelum balik kampung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
PENGELUPASAN KIMIA
• Rawatan ini membantu membuang sel kulit mati agar kulit lebih lembut, sekata dan berseri.
• Dalam masa dua ke tiga hari, lapisan atas kulit (epidermis) akan mengelupas sedikit dan sembuh sepenuhnya antara lima hingga 14 hari.
• Bahan kimia yang digunakan diekstrak daripada bahan semula jadi antaranya asid glikolik dan
laktik.
• Kekerapan rawatan selang dua minggu sekali.

MICRODERMABRASION
• Menyingkirkan sel kulit mati di lapisan atas (epidermis) dengan menggunakan alatan khas.
• Tempoh rawatan antara 15 hingga 30 minit.
• Kulit lebih lembut dan sihat dalam masa satu hingga dua minggu.

HIFU
• High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) membantu menegangkan dan meremajakan kulit.
• Rawatan ini mampu memberikan hasil ketara tanpa rasa sakit atau tidak selesa.
• Kulit akan kemerahan dalam tempoh kosong hingga dua hari manakala keseluruhan tempoh pemulihan sehingga 14 hari.
RADIOFREQUENCY MICRONEEDLING
• Teknik ini dapat merawat lebih banyak masalah kulit seperti pigmentasi, masalah salur darah, pengelupasan, jerawat dan menegangkan.
• Rawatan mengambil masa antara 15 hingga 30 minit dengan menggunakan mesin khas.
• Proses pemulihan kulit antara kosong hingga tujuh hari.
• Kekerapan rawatan selang tiga hingga empat minggu.
PANTAS, BUKAN EKSPRES
Emma Diana berkata, apa sahaja proses rawatan kulit memerlukan masa untuk pulih.
Katanya, ramai yang salah anggap dan menyangka hasil sebenar dapat dilihat segera atau ekspress.
“Walaupun selepas seminggu pesakit lihat perubahan positif pada wajahnya, tetapi itu bukan hasil akhir kerana lazimnya ia akan nampak lebih berseri selepas sebulan.
“Saya sering mengingatkan pesakit estetik yang rawatan wajah ini bukan bersifat ekspres, sebaliknya ia memerlukan proses masa dan rutin penjagaan wajah yang tepat di rumah,” katanya.
Ujarnya, jika perkara itu tidak diberi perhatian, keserian kulit mungkin tidak dapat bertahan lama.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pesakit untuk memakai pembersih muka, pelembap dan pelindung matahari.
Tiga produk asas itu penting bagi memastikan kulit wajah sentiasa sihat.
Tegasnya, rawatan wajah seolah-olah tidak bermakna jika pesakit mengabaikan pemakaian tiga bahan asas penjagaan wajah itu.
“Apabila balik berbuka atau berhari raya ke kampung, pakai pelindung matahari agar kulit sihat dan mengurangkan risiko kedutan, penuaan pramatang dan pigmentasi.
“Di samping itu, pada Ramadan ini jangan lupa untuk sentiasa dan lebihkan aplikasi pelembap kulit pada siang dan malam,” katanya.
Selain itu, faktor pemakanan turut mempengaruhi kesihatan dan keserian kulit seseorang.
Justeru, beliau meminta orang ramai untuk mengamalkan piramid makanan ketika berpuasa dan minum air sekurang-kurangnya satu liter bagi memastikan kulit kekal hidrat.
Pada masa sama, hadkan pengambilan minuman manis dan berkafein.









