KUALA TERENGGANU: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan mencuri barang di sebuah pasar raya, di sini, Ahad lalu.
Rasyidah Ramly, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang suri rumah didakwa mencuri 47 jenis barang milik sebuah pasar raya bernilai lebih RM539.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pasar raya di daerah ini kira-kira pukul 3.30 petang pada 23 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda manakala penjara dan sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK).
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang datang bersama seorang anaknya ditemukan dalam keadaan mencurigakan oleh pengawal keselamatan bersama troli berisi barang disyaki tidak dibayar.
Siasatan lanjut mendapati tertuduh gagal mengemukakan resit sebagai bukti pembayaran sebelum ditahan pihak polis.
Ketika kejadian tertuduh juga dikatakan baru selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama di sebuah pusat membeli-belah di bandar raya ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 April sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh diwakili Nurul Hanis Mohd. Zaini dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – UTUSAN










