PETALING JAYA: Kemenangan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, itulah luahan Shevon Jemie Lai selepas merangkul gelaran juara Terbuka Switzerland bersama pasangannya, Goh Soon Huat.
Selepas tiga kali mencuba, beregu campuran Malaysia itu akhirnya mengecapi kenikmatan sebuah kejayaan selepas mengetepikan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-16, 21-13 dalam masa 37 minit.
Shevon berkata, ramai yang berpendapat percubaan kali ketiga akan menjadi lebih menarik, selepas dia dan Soon Huat muncul sebagai naib juara sebanyak dua kali pada kejohanan itu iaitu pada edisi 2022 dan 2023.
“Tak tahu bagaimana untuk luahkan apa yang kami rasakan pada ketika ini…tiga tahun, tiga final dan kami akhirnya berjaya melakukannya!
“Syukur kepada tuhan kerana kejayaan ini merupakan ketentuan-Nya, terima kasih kepada penaja kami dan beberapa individu lain yang menjadikan perjalanan kami ini satu kenyataan.
“Kepada sahabat handai, keluarga, fanatik badminton yang menyokong kami, terima kasih kerana tidak pernah berputus asa dengan kami, sentiasa mengingatkan kami agar percaya kepada diri sendiri,” kata Shevon menerusi perkongsiannya dalam Instagram, semalam.
Soon Huat-Shevon yang merupakan beregu No. 14 dunia, bukan sahaja mara ke final Terbuka Switzerland buat kali ketiga, tetapi, kejayaan itu juga yang pertama dalam tempoh enam tahun.
Kali terakhir pasangan merpati sejoli itu merangkul gelaran ialah dalam tahun 2018 iaitu pada Terbuka Jerman dan Terbuka Singapura.
Shevon turut mengucapkan terima kasih kepada Soon Huat kerana menjadi penyokong terbesar dan sumber keyakinannya, selain, sering menjadi penyuntik semangat setiap kali mereka berdepan kesukaran.
“Awak tidak pernah membenarkan dugaan itu menjatuhkan kita dan tidak kira betapa sukar laluan yang terpaksa diharungi, awak selalu berdiri teguh sepanjang kerjasama dan hubungan kita ini.
“Saya berharap kemenangan ini akan selalu menjadi kenangan manis untuk kita, kepada rakan senegara, Ee Wei dan Tang Jie, anda berdua sangat mengagumkan, bangga melihat anda sentiasa mengibar tinggi Jalur Gemilang! Teruskanlah kecemerlangan itu,” ujarnya.
Kemenangan tersebut menyaksikan Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$16,590 (RM78,583), manakala Tang Jie-Ee Wei yang muncul sebagai naib juara membawa pulang AS$7,980 (RM37,799).-UTUSAN










