Remaja lelaki lari pemeriksa polis ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Remaja lelaki lari pemeriksa polis ditemukan lemas

ANGGOTA bomba mengangkat mayat seorang remaja lelaki yang ditemukan lemas di jeti PAKR Sungai Kerak, Marang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri daripada polis di jeti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian tersebut, mayat mangsa dijumpai pasukan penyelamat pada pukul 4.20 pagi tadi pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasinya disyaki terjun.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Razman Setapa berkata, terdahulu polis menerima maklumat berhubung kejadian seorang lelaki disyaki lemas lebih kurang pukul 11.25 malam.

“Sebelum kejadian, dua anggota polis bertugas sedang melakukan pemeriksaan di hadapan sebuah rumah berhampiran jeti dan kemudiannya terdengar suara orang meminta tolong.

“Kedua-dua anggota tersebut meluru ke arah lokasi dan melihat seorang lelaki terkapai kapai lalu tenggelam. Usaha awal selamatkan mangsa terus dilakukan polis serta orang awam, namun gagal kerana arus deras.

“Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa digerakkan sebelum dia ditemukan lemas pada kedalaman lokasi kira-kira 2.5 meter, di kedudukan 10 hingga 15 meter jarak dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi bedah siasat dan tindakan lanjut.

Katanya lagi, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN