Anak antara individu yang terkesan akibat daripada perceraian. Bagaimana penerimaan mereka terhadap perkara itu bergantung kepada usia dan personaliti.
Minggu ini saya kongsikan kisah Malia (bukan nama sebenar) salah seorang anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa.
Bukan niatnya untuk berkongsi kisah hidup dengan orang lain.
Namun, sedikit kisah itu mungkin boleh membantu memberi harapan kepada semua remaja yang berdepan perceraian ibu bapa.
Kata Malia, dia dilahirkan dalam keluarga sederhana.
Bapanya, Hasmadi (bukan nama sebenar) bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta, manakala ibu, Amy (bukan nama sebenar) pula di sektor kerajaan.
Malia adalah anak sulung daripada tiga beradik. Ibu bapanya bercerai ketika usianya 15 tahun. Dua adiknya, Fakhri dan Rina ketika itu masing-masing berumur 13 dan lapan tahun.
Dipendekkan cerita, kata Malia, dia dan adik-adiknya melalui zaman kecil hingga remaja seperti kanak-kanak normal lain.
Mereka sangat bahagia kerana dikurniakan kedua ibu bapa yang sangat baik dan bertanggungjawab.
Ternyata laut tidak selalunya tenang, begitu jugalah kehidupan mereka sekeluarga yang akhirnya dilanda ombak besar.
Segala-galanya bermula selepas enam bulan bapa dinaikkan pangkat sebagai pengurus besar dan bertukar ke cawangan lain di utara tanah air.
Awalnya, baik-baik sahaja. Malah, ibu bapanya telah menetapkan jadual untuk mereka secara bergilir-gilir berjumpa pada setiap minggu.
Jika tidak mereka, bapa yang turun ke Kuala Lumpur.
Walaupun tempoh pertemuan singkat, ia amat berharga bagi Malia dan adik-adik.
Pun begitu, panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.
Harta dan pangkat membuatkan bapanya jadi lupa diri.
Dengan jawatan baru, bapanya menjadi orang penting syarikat. Kesibukan membuatkan bapa tidak punya banyak masa dengan mereka sekeluarga.
Mereka sudah jarang berkumpul. Jangankan seminggu sekali seperti selalu, dua minggu sekalipun belum tentu.
Adakala ibu terpaksa menunggu sebulan sekali untuk memastikan jadual bapa lapang.
Walaupun berusia 15 tahun ketika itu, Malia sedikit sebanyak sudah mula memahami kehidupan dilalui ibu bapanya.
Sepanjang keberadaan bapa di utara, Malia semakin rapat dengan ibu.
Ternyata ibu menyimpan sesuatu yang hanya suami isteri sahaja memahami.
Rupa-rupanya, bapa curang di belakang ibu.
“Sejujurnya, saya tidak tahu selama ini ibu memendam perasaan terhadap perbuatan suaminya. Selama ini segalanya nampak normal,” kata Malia.
Sehinggalah pada suatu hari ibu dan bapa memanggil Malia tentang keputusan mereka untuk bercerai.
“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Sedih dan kecewa.
“Apa yang dibayangkan adalah nasib Fakri dan Rina,” ujarnya.
Kata Malia, walaupun dia tidak begitu memahami kehidupan orang dewasa, apa yang berlaku benar-benar memberi kesan terhadap emosinya.
“Saya sering cemburu melihat orang lain mempunyai ibu dan ayah. Pun begitu saya tidak terlalu lama hanyut melayan emosi berbanding Fakri dan Rina.
“Perceraian ibu dan ayah memberi kesan besar terhadap kedua-duanya. Hampir setahun juga, ibu memujuk mereka untuk memahami situasi yang berlaku,” imbasnya.
Ketika menjatuhkan talak, ayah berjanji memberi nafkah kepada mereka tiga beradik.
Tetapi biasalah, janji tinggal janji. Ibunya terpaksa turun naik mahkamah.
Katanya, walaupun ibu bekerja, tetapi wanita itu tetap mahu menuntut hak anak-anak.
“Wang gajinya memang cukup untuk menyara kami sekeluarga, tetapi ibu mahu ayah bertanggungjawab ke atas anak-anak.
“Ibu enggan bapa lepas tangan disebabkan ibu ada pendapatan sendiri,” cerita Malia.
Ternyata, tekaan ibu benar belaka. Bulan pertama, kedua dan ketiga, bapa masih menunaikan janjinya memberi nafkah RM500 setiap bulan, tetapi memasuki bulan keempat lelaki itu mula culas.
Jangankan RM500, nak dapat RM300 pun susah. Kadang kala RM100 untuk sebulan atau dua tiga bulan sekali.
“Seingat saya kes tuntutan nafkah memang tidak pernah ada kesudahan, Dari usia 15 tahun, masuk universiti hingga mendapat pekerjaan, janji bapa tidak pernah tepat.,” katanya.
Masa bergerak begitu pantas. Setelah 10 tahun bercerai, hal nafkah masih tidak selesai. Bapa berjanji nak bayar, tetapi akhirnya ibu juga yang terpaksa menanggung. Dari bulan, memasuki tahun, ibu seolah-olah putus asa.
Akhirnya bapa buat-buat lupa. Sepanjang sedekad berpisah, lelaki itu langsung tidak bertanya khabar mereka sekeluarga.
Lima tahun pertama bergelar ibu tunggal banyak suka duka dilalui ibunya.
Sebagai anak sulung, Malia tetap bersama ibu.
“Alhamdulilah, berkat doa ibu awal Januari lalu saya mendapat pekerjaan baru di sebuah syarikat perbankan di ibu negara.
“Fakhri masih di tahun tiga pengajian di universiti selatan tanah air, manakala Rina pula menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dialah yang menemani ibu di rumah,’’ ceritanya.
Sambung Malia, dia amat kagum dengan ibunya kerana sepanjang membesarkan mereka tiga beradik, ibu tidak pernah memburuk-burukkan bapa.
“Bagi ibu bercerai tidak bermaksud untuk bermusuh walaupun lelaki itu terang-terangan mengabaikan nafkah anak-anak.
“Bekas suami ibu tetap bapa kepada anak-anak dan perbuatannya terhadap kami sekeluarga adalah antara dia dan Allah,” kata Malia lagi.
Sesungguhnya, perceraian bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh Islam, namun apabila sudah tiada lagi cara dan jalan untuk berdamai bagi menyelamatkan rumahtangga dibina, maka perceraian menjadi pilihan terakhir.
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Perkara halal yang paling dibenci pada sisi Allah ialah talak.” (Riwayat Abu Daud). Berdasarkan hadis ini, meskipun talak dibenarkan oleh syarak, talak tetap menjadi perkara yang dibenci. – UTUSAN










