KANGAR: Stadium Tuanku Syed Putra di sini bersedia untuk dijadikan venue bagi Perlis United FC (PUFC) sekiranya pasukan tersebut layak beraksi dalam Liga Super musim 2024/2025.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, kerja-kerja baik pulih stadium berkenaan sedang giat dijalankan dan dijangka siap sebelum pembukaan tirai perlawanan Liga Super pada bulan Mei depan.
“Setakat ini kalau diikutkan stadium itu dapat digunakan sebelum Liga Super bermula pada Mei kecuali sekiranya ada berlaku sebarang perkara tidak dijangka,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerja-kerja menaik taraf stadium berkenaan yang bermula pada 25 Oktober 2022 dijangka siap menjelang April ini dengan peruntukan diluluskan kerajaan Persekutuan sebanyak RM8 juta.
Dalam pada itu, Wan Zikri berkata, kerajaan negeri sebelum ini juga telah memberi kebenaran bersyarat kepada PUFC untuk menggunakan Stadium Tuanku Syed Putra sebagai venue perlawanan sewaktu pihak terlibat mengemukakan permohonan kepada MFL.
“Bagaimanapun, sekiranya pasukan itu terpilih untuk beraksi dalam Liga Super, perbincangan lanjut mengenai venue ini akan dilaksanakan semula selepas dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Kita kena bincang semula mengenai perkara ini kerana sebelum ini kita memberikan kebenaran bersyarat bagi membolehkan mereka untuk mengemukakan surat permohonan kepada MFL untuk menggunakan stadium tersebut sebagai venue perlawanan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga berharap agar pengurusan pasukan negeri itu dapat bersedia dari segi kewangan. Kerajaan negeri sememangnya sentiasa menyokong dan kita juga harapkan PUFC betul-betul bersedia sebelum melayakkan diri ke Liga Super,” katanya.-UTUSAN










