KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak terus berasa selesa dengan kedudukan hari ini dan berharap kepada ‘gelombang’ semata-mata.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, gabungan parti itu perlu mempunyai kekuatan tersendiri supaya ‘gelombang’ tersebut kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Jangan anggap pengundi sentiasa bersama dengan kita. Betul, PRU15 lalu berlaku gelombang luar biasa dalam kalangan pengundi khususnya orang Melayu sehingga PN menang besar.
“Tapi ingat, gelombang ada pasang surutnya. Sebagai sebuah parti, kita perlu ada kekuatan sendiri dalam meyakinkan rakyat dan tidak boleh bergantung kepada gelombang semata-mata. Jika tidak kita juga akan dihukum,” katanya ketika berucap pada majlis Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024.
Menurut Hamzah, semua ahli PN perlu memahami sentimen rakyat, lebih-lebih lagi dalam isu kos sara hidup yang terbeban sekarang.
“Sekarang ini terlalu banyak isu. Isu utama kos sara hidup, ia menyentuh soal perut rakyat, soal makanan atas meja rakyat, soal kehidupan rakyat, soal hati nurani rakyat dan soal bagaimana rakyat dapat hidup dengan bermakna. Kita perlu buat analisis menyeluruh dan tentukan bagaimana serta strategi mana yang harus digunakan.
“Sebab itu, dalam merungkai strategi terbaik untuk PN, kita perlukan buah fikiran daripada semua pihak, khususnya mereka yang berpengalaman,” katanya. – UTUSAN










