Cuaca panas di Terengganu berterusan sehingga Mei - Utusan Malaysia

Cuaca panas di Terengganu berterusan sehingga Mei

MURID sekolah menutup kepala menggunakan beg dan payung berikutan cuaca panas di pekarangan luar Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang, baru-baru ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Cuaca panas dan kering yang kini melanda Terengganu dijangka berterusan dengan kemuncaknya pada Mei depan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, setakat ini, suhu tertinggi yang pernah direkodkan ialah di Stesen Pencerapan Automatik iaitu Felda Tenang Besut dengan suhu setinggi 35.5 darjah Celsius pada 6 Mac lalu.

Menurutnya, suhu kedua tertinggi yang direkodkan ialah kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bukit Besi, daerah Dungun iaitu 34.6 darjah Celcius pada hari yang sama.

“Rekod tersebut bukanlah yang paling tinggi dalam sejarah namun ia lebih tinggi jika dibandingkan purata suhu bulanan rekod yang dicatatkan tahun ini.

“Mengikut Pertubuhan Met Sedunia, kesan fenomena El Nino ini boleh berterusan sehingga Mei dan ianya akan menyebabkan cuaca panas dan kering berterusan di banyak kawasan termasuk di Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rosli memberitahu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar mengurangkan sebarang aktiviti di luar bangunan jika tiada keperluan mendesak.

Menurutnya, semua tips penjagaan kesihatan yang diberi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu diamalkan bagi mengelak sebarang risiko serangan strok haba berlaku.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai perlu mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkaitan kesan kesihatan yang berkait dengan fenomena El-Nino dan langkah-langkah pencegahan.

“Elakkan berada di luar pada waktu tengah hari dan awal petang, pastikan minum air yang mencukupi dan paling penting, jangan lakukan sebarang perbuatan yang berisiko untuk kesihatan awam seperti pembakaran terbuka.

“Fokus perlu diberi kepada kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya agar kesihatan mereka berada pada tahap optimum sepanjang musim panas dan kering melanda negara ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN