MARANG: Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh percaya tindakannya mengajak pengguna memboikot rangkaian kedai serbaneka, KK Mart tidak berkaitan dengan isu agama, bangsa dan institusi raja (3R).
Beliau berkata, tindakan memboikot kedai serbaneka itu dilakukan bukan atas dasar kaum tetapi untuk memberi pengajaran atas penjualan stoking bercetak kalimah Allah yang menyakiti hati umat Islam.
“Boikot (KK Mart) bukan isu 3R, saya konsisten tidak berganjak meminta rakyat terus memboikot dengan tenang untuk beri pengajaran.
“Kita tidak sentuh mana-mana, agama, bangsa dan kaum,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Dato’ Haji Nik Dir Bin Wan Ku di Bangunan UMNO Bahagian Marang, di sini, hari ini.
Muhammad Akmal berkata demikian ketika mengulas saranan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menasihatkannya menghentikan kecaman setelah pengasas kedai serbaneka itu dihadapkan ke mahkamah, kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain juga mengingatkan semua pihak berhenti membangkitkan isu 3R termasuk stoking tertera kalimah Allah.
Muhamad Akmal berkata, tindakan memboikot tersebut merupakan hak pengguna yang mahu mempertahankan kesucian agama Islam.
“Malah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberi dokongan dalam isu mempertahankan kalimah Allah ini kerana prinsip parti kekal mempertahankan Islam, Melayu dan institusi diraja,” katanya. – UTUSAN










