PETALING JAYA: Jabatan siasatan jenayah siber perlu diwujudkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu keselamatan siber yang semakin berleluasa.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, jabatan siasatan jenayah siber boleh mempertingkatkan dan mempercepatkan fungsi PDRM dalam isu keselamatan siber.
Katanya, mewujudkan satu jabatan jenayah siber ketika ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berkaitan jenayah siber.
“Jabatan jenayah siber akan lebih memfokuskan kepada teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan mangsa yang terlibat dengan jenayah siber boleh terus berurusan dengan pegawai penyiasat yang dilantik setiap di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD).
“Ini akan menjadi satu perkara positif pihak PDRM kerana ia menambah dan memperkukuhkan fungsi PDRM sesuai dengan waktu sekarang kerana penggunaan internet telah meluas dan punca kuasa jenayah siber belum jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, undang-undang bagi menangani jenayah penipuan dalam talian disifatkan seperti ‘basikal buruk’ yang menuntut kepada pindaan segera.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang merangka undang-undang baharu merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan kill switch bagi meningkatkan keselamatan digital susulan ancaman jenayah penipuan.
Siraj berkata, akta keselamatan siber perlu menjadi subjek yang utama di dalam dewan negara.
“Kita perlukan akta lebih komprehensif seperti akta keselamatan siber kerana keterlibatan pengguna di dalam ruang siber semakin luas,” ujarnya.
“Pada tahun lalu, akta ini telah diusahakan kerajaan dan sudah mempunyai kerangka. Jadi bilakah akta ini akan dibentangkan di dalam dewan rakyat?.
“Akta yang sudah ada mempunyai kelompongan dan akta baru ini memerlukan proses parlimen bagi membuat pindaan,” katanya.
Tambahnya, kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat akan menjadi satu kebimbangan bagi peningkatan jenayah siber.
“ AI akan membina satu jenayah siber baharu yang tidak dijangka oleh mana-mana manusia.
“Ini juga akan menyebabkan kebocoran data penting dan pencurian maklumat peribadi rakyat,” katanya. – UTUSAN










