GAZA: Sejuta penduduk Palestin dilaporkan bersesak-sesak dalam khemah di Rafah dan mereka kini menunggu dengan ketakutan untuk serangan darat Israel yang dijangkakan berlaku ke atas bandar itu pada bila-bila masa.
Tiada tempat lagi untuk mereka melarikan diri sebaik tentera masuk ke bandar berkenaan.
Malah, imej satelit menunjukkan bahawa tempat perlindungan sementara itu kini padat dengan pelarian.
Seorang warga Palestin yang kehilangan tempat tinggal di bandar itu, Kareem Dahman memberitahu CNN, mereka mendengar (dron) sangat kuat dan mendengar bunyi bom pada waktu malam.
PULUHAN KELUARGA DALAM SATU BILIK
Katanya, pengeboman terbaharu adalah sangat dekat dengan tempat tinggalnya dan lebih daripada puluhan ahli keluarga berada di dalam bilik tunggal di rumah rakannya.
Dia berkata, keadaan di Rafah sangat sukar, huOPaleru-hara dan harga barangan sangat tinggi.
Kareem seperti pelarian lain mendapati dirinya berada di bandar yang sangat sukar dan terkepung.
Rafah adalah tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang menjejak ke selatan untuk mengelakkan serangan udara dan darat Israel.
Hal ini berikutan arahan daripada pegawai Angkatan Pertahanan Israel (IDF) agar rakyat Palestin meninggalkan Kota Gaza dan kemudian Khan Younis.
Bagaimanapun, Rafah diserang melalui udara selama berbulan-bulan dan terbaharu, serangan ketenteraan darat membawa kebimbangan yang semakin meningkat.
TIADA LALUAN LAIN
Mereka yang terperangkap di bandar tidak mempunyai laluan lain untuk melarikan diri.
Kota itu bersempadan dengan Mesir dan laluan masuk ke negara itu ditutup selama berbulan-bulan.
“Kami membeli beberapa bekalan dari kedai runcit kecil. Kali terakhir kami membeli adalah semalam. Pada waktu pagi, kami pergi membeli barang dan mendapati kedai itu dibom.
“Pengeboman semakin hampir di Rafah. Kami tidak tahu ke mana akan pergi selepas Rafah,” kata Kareem kepada CNN.
Serangan udara menjadi perkara biasa di Rafah selama berbulan-bulan lamanya.
RAFAH KUBU TERAKHIR
Pemimpin Israel mengarahkan sasaran mereka ke Rafah dalam beberapa hari kebelakangan ini dan mendakwa bandar itu adalah kubu terakhir Hamas yang masih tinggal dan kepemimpinan kumpulan pejuang itu termasuk pemimpin Gaza, Yahya Sinwar.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, tentera tidak lama lagi mencapai matlamatnya apabila ke Rafah.
Gallant mendakwa dalam taklimat televisyen bahawa Yahya tidak mempunyai hubungan dengan pejuangnya dan terpaksa melarikan diri dari satu tempat persembunyian ke tempat persembunyian yang lain dengan IDF dalam usaha mengejarnya.
“Dia tidak memimpin pasukan, dia sibuk dengan survival peribadinya sendiri. Dia bukannya ketua Hamas tetapi seorang pengganas buruan,” kata Gallant.
Komander tertinggi yang bertanggungjawab dalam operasi ketenteraan Israel di selatan Gaza memberitahu, belum ada rancangan untuk meminimumkan kematian orang awam di Rafah.
Brigedier Jeneral Dan Goldfuss yang menyelia Divisyen 98 Angkatan Pertahanan Israel berkata, dia akan menerima arahan untuk menggerakkan pasukannya ke kawasan itu dan sehingga Ahad lalu, arahan itu belum dikeluarkan lagi.
Jurucakap IDF memberitahu CNN bahawa setakat hari Rabu, maklumat itu masih tepat iaitu arahan untuk berpindah ke Rafah masih belum dikeluarkan.
Bagi lebih sejuta rakyat Palestin di bandar selatan itu, jangkaan tentera Israel ke Rafah menimbulkan kebimbangan dan ketakutan.
“Semua orang takut dengan perluasan operasi darat di Rafah,” kata Raed Al-Nims, Pengarah Media Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di Gaza.
Ketua Pejabat Media Kerajaan yang dikendalikan Hamas di Gaza, Ismail Al-Thawabta memberitahu CNN bahawa kemasukan IDF ke Rafah akan menyebabkan bencana sebenar di samping bencana sedia ada di Gaza.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), lebih separuh daripada anggaran lebih dua juta orang di Gaza mencari perlindungan di kawasan Rafah.
OCHA menambah, pelarian menghadapi kekurangan makanan, air, tempat tinggal dan ubat-ubatan yang teruk masih membanjiri Rafah ketika pertempuran semakin teruk berdekatan.










