SEAWAL jam 4 pagi, mata ini segar. Jiwa rasa cukup bertenaga bagi menjayakan misi istimewa iaitu terbang menaiki belon panas di Farm Fresh@UPM, Serdang.
Perjalanan dari rumah saya ke Serdang cuma mengambil masa 20 minit, namun dek kerana teruja, saya sampai ke destinasi pukul 6.30 pagi.
Dari kejauhan saya nampak belon panas berwarna-warni dan raga yang ditempatkan di kawasan lapang bersebelahan kafe, The Acre di ladang ini.
Walaupun belum berisi udara tetapi bagaikan sudah melambai-lambai menyambut kehadiran pengamal media, malah fikiran saya turut melayang seolah berada di Cappadocia, Turkiye.
Proses mengisi gas, memasang api dan kelengkapan penerbangan mengambil masa kira-kira 30 minit.
“Awak nak jadi orang pertama terbang? Jangan risau, segala-segalanya selamat dan pemandangan matahari terbit sangat cantik,” kata kru wanita seolah-olah dapat membaca perasaan saya.
Disebabkan takut, saya memilih giliran ketiga, jadi dapatlah dengar pengalaman rakan lain yang naik lebih awal kalau-kalau mahu mengubah fikiran.
Belon udara itu mampu menampung berat sehingga 200 kilogram atau bersamaan tiga hingga empat penumpang dalam satu-satu masa termasuk juruterbang.
Selepas tiba giliran, saya bersama seorang rakan melompat masuk ke dalam raga dan dalam sekelip mata, belon sudah tinggi di udara.
Perasaan takut masih ada, tetapi seolah-olah terlupa apabila menyaksikan sinaran mentari pagi dan pemandangan hijau ladang yang cukup menyegarkan.
Walaupun cuma terbang tujuh minit tetapi ia terasa lama dan sangat mengujakan, apatah lagi rakaman penerbangan turut diambil oleh pihak petugas untuk kenang-kenangan.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah AKA Balloon Sdn. Bhd., Izzati Khairudin berkata, pengalaman singkat yang ditawarkan itu membuatkan seseorang rasa seperti berada di luar negara.
Katanya, pakej korporat, Ballon & Breakfast berharga RM349 seorang itu dikendalikan dengan kerjasama Farm Fresh Berhad (Farm Fresh).
“Lokasi ini merupakan satu-satunya di Lembah Klang yang menawarkan panorama penuh kehijauan.
“Aspek keselamatan amat diutamakan sebelum menerbangkan belon panas termasuk pemeriksaan rapi peralatan dan pemantauan cuaca,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Jelas Izzati, penerbangan hanya boleh dilakukan apabila keadaan cuaca baik dan akan ditangguhkan jika hujan atau berangin.
Malah, pihaknya memiliki barisan juruterbang bertauliah dan berpengalaman di samping bantuan kru di darat.

Sarapan pagi, lawat ladang
Sementara menunggu giliran untuk terbang, pengunjung turut disajikan dengan bufet sarapan pagi istimewa di kafe, The Acre.
Kemudian, mereka dibawa melawat ke kawasan ladang yang seluas kira-kira 40.4 hektar dengan menaiki traktor.
Ketua ladang Farm Fresh, Faris Zainal berkata, pengunjung berpeluang melihat kebun pisang berangan dan limau kasturi, di samping kolam ikan koi, tilapia dan keli di sepanjang laluan.
Katanya, aktiviti paling ditunggu-tunggu adalah kunjungan ke kandang yang menempatkan sejumlah 500 ekor lembu.
“Selain itu, pengunjung juga dapat pergi ke petting zoo, malah menikmati serta membeli produk-produk segar keluaran Farm Fresh di kedai yang disediakan,” katanya.
Pakej baharu, Ballon & Breakfast itu bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.-UTUSAN











