Muafakat penduduk wujudkan Pasar Jumaat

Muafakat penduduk wujudkan Pasar Jumaat

SUASANA di Pasar Jumaat yang wujud sejak awal 1960-an di Kampung Sungai Lesong di Kampar. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Muafakat penduduk Kampung Sungai Lesong di sini mewujudkan Pasar Jumaat lebih 60 tahun lalu ternyata menyerlahkan keunikan tersendiri kampung itu.

Piah Hussin, 78, berkata, pasar itu wujud pada awal tahun 1960-an hasil muafakat Kampung Sungai Lesong dan kampung berhampiran kerana kesukaran mereka mendapatkan barangan keperluan seharian.

“Dulu kami hidup susah dan kebanyakan penduduk hanya berjalan kaki. Sekiranya ada basikal ketika itu telah dianggap orang kaya kerana harganya mahal.

“Situasi itu menyebabkan kami sukar membeli barangan keperluan seharian termasuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman kerana perlu berjalan jauh,” katanya semalam.

Sehubungan itu, katanya, penduduk kampung berpakat menjual hasil-hasil pekerjaan mereka seperti ikan, ayam, daging, lembu, buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman di pasar tersebut supaya tidak perlu pergi jauh ke tempat lain.

“Kebanyakan orang kampung bekerja sendiri seperti nelayan, penternak ayam, kambing dan lembu secara sara sendiri selain mengusahakan tanaman pokok dan sayur-sayuran secara kecil-kecilan,” katanya.

Pasar itu hanya beroperasi pada Jumaat seawal pukul 5.30 pagi hingga 10 pagi di sepanjang jalan kampung itu kira-kira satu kilometer.

Peniaga dikenakan sewa harian sebanyak RM3 oleh pentadbiran kampung selain perlu menjaga kebersihan dan mengutip sampah sebaik sahaja habis berniaga.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Saiful Anuar, 45, berkata, dia adalah generasi ketiga yang berniaga sayur-sayuran di pasar itu.

“Ada pelanggan ada yang datang dari jauh seperti Ipoh kerana penduduk kampung ini terus menjual ikan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman segar hasil tangkapan dan usaha mereka.

“Selain membeli-belah, pengunjung boleh menikmati minuman dan makanan selain kuih-kuih tradisi seperti cengkaruk, gandos, ketewol, kalakatar serta pupudak di warung tepi jalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×