McDonald's akui perang di Gaza beri kesan pada jualan suku

McDonald’s akui perang di Gaza beri kesan pada jualan suku tahunan pertama

RESTORAN McDonald's di Tysons, Virginia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: McDonald’s mengakui peperangan Israel di Gaza menjadi antara faktor gergasi restoran makanan segera itu gagal mencapai sasaran jualan suku tahunan pertama dalam tempoh hampir empat tahun.

Lapor Al Jazeera, Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Chris Kempczinki memaklumkan perang itu memberi kesan ke atas jualan di negara Asia Barat serta negara majoriti penduduk Islam seperti Malaysia dan Indonesia.

“Selagi konflik atau perang ini berterusan, kami tidak menjangkakan untuk melihat sebarang peningkatan yang ketara dalam hal ini.

“Ia adalah tragedi kemanusiaan, apa yang sedang berlaku, dan saya merasakan ia memberi kesan kepada jenama kami,” katanya melalui panggilan persidangan.

Pertumbuhan jualan untuk bahagian rantaian restoran makanan segera di Asia Barat, China dan India sepanjang Oktober-Disember mencapai 0.7 peratus.

Angka itu jauh lebih rendah di bawah jangkaan pasaran sebanyak 5.5 peratus.

Kemerosotan itu berlaku selepas pelanggan di negara-negara Islam menggesa memboikot McDonald’s sebagai tindak balas kepada francais Israel menyumbangkan ribuan makanan percuma kepada tentera rejim Zionis itu.

Susulan pengumuman dibuat oleh McDonald’s Israel, pemegang francais di Arab Saudi, Oman, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Mesir, Bahrain dan Turkiye secara kolektif menjanjikan bantuan bernilai jutaan dolar kepada rakyat Palestin di Gaza.

Meskipun, McDonald’s berpangkalan di Chicago dikenali sebagai salah satu jenama Amerika Syarikat (AS) yang paling ikonik, kebanyakan restorannya di seluruh dunia dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat tempatan.

Bulan lalu, Kempczinski mengakui perang dan `maklumat salah berkaitan’ mempunyai impak ke atas perniagaannya di rantau itu.

McDonald’s merupakan antara beberapa jenama barat yang berdepan boikot disebabkan perang Israel ke atas Gaza.

Minggu lalu, jenama minuman kopi terkemuka, Starbucks mengumumkan pengurangan jangkaan jualan tahunan, dengan memetik kemerosotan dalam perniagaan di Asia Barat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN