PETALING JAYA: Hasrat Sabah FC untuk mara lebih jauh di Piala AFC tersekat di separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN selepas tewas 3-0 kepada Macarthur FC di Stadium Campbelltown Sports, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri nyata memberi kelebihan kepada Macarthur yang menguasai perlawanan sepenuhnya.
Begitupun, skuad kendalian Mile Sterjovski terpaksa menunggu sehingga minit ke-40 untuk memecah kebuntuan gol.
Gol itu diperolehi menerusi hantaran lintang Jed Drew, disudahkan dengan baik oleh penyerang import dari Mexico, Ulises Davila untuk memberi Macarthur mendahului 1-0 pada babak pertama.
Memasuki babak kedua, tuan rumah hanya memerlukan seminit untuk menembusi gawang yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat buat kali kedua.
Serangan itu direncana daripada sebelah kiri pertahanan Sabah menerusi larian solo Drew dengan mengelecek dua pertahanan pelawat, sebelum melepaskan rembatan kencang untuk mencetak nama sebagai penjaring.
Tersentak dengan gol itu, Sabah cuba mencipta beberapa peluang untuk mencari jaringan namun jentera serangan yang diketuai Darren Lok gagal menemui sentuhan penyudah.
Sebaliknya, Drew sekali lagi menemui gol kedua pada minit ke-80 sekali gus memastikan kemenangan bergaya tuan rumah untuk mara ke final Zon ASEAN Piala AFC.