Adidas, PFAM bekerjasama bantu pemain bola sepak wanita

Adidas, PFAM bekerjasama bantu pemain bola sepak wanita

DAVID Beckham (tengah) bersama wakil Adidas, PFAM dan peserta Adidas Malaysia Girls Football Program (AMGFP) di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kedatangan legenda bola sepak England, David Beckham di Kuala Lumpur bagi sesi bertemu peminat sempena pameran ‘Adidas World of Predator’ mendapat sambutan yang cukup meriah.

Bekas kapten Manchester United dan England itu juga turut meluangkan masa bertemu dengan pemain bola sepak wanita semasa Adidas Malaysia Girls Football Program (AMGFP) di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara Khamis lalu.

Beckham, 49 tahun itu, turut memberikan ucapan motivasi kepada peserta program berkenaan dan menandatangani autograf.

Program pertama seumpamanya itu bertujuan untuk menjadikan bola sepak wanita di negara ini lebih besar dan lebih baik dengan kerjasama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Menurut ketua pegawai eksekutif PFAM, Izham Ismail, berkata untuk menjadi pemain bola sepak wanita di Malaysia, mereka perlu berdepan pelbagai cabaran.

“Di Malaysia, bola sepak wanita menghadapi pelbagai cabaran daripada memerangi stigma masyarakat, diskriminasi dan kekurangan akses.

“Tetapi, ia berjaya berkembang kerana kecekalan atlet wanita kita dan hari ini hari untuk mereka. Terima kasih kerana menjadikannya lebih relevan daripada sebelumnya.

“Ia bukan sekadar program, tetapi menjadi antara pemangkin untuk memupuk bakat bola sepak wanita dan ini adalah platform dan ruang selamat untuk mereka berasa diberi ruang serta peluang untuk berkembang,” kata Izham.

Sementara itu, pengurus Adidas Malaysia Sharmin Photographer berkongsi pengalamannya menyaksikan Piala Dunia Australia 2023 bersama Steffi Sarge Kaur Sarjan Singhdan berkata: “Apabila kami ke final, kami merasakan seluruh dunia menyokong bola sepak wanita dan Steffi bersama saya.

“Kami merasakan sudah tiba masanya untuk melakukan sesuatu untuk wanita Malaysia yang berminat dalam sukan ini dan memajukan permainan mereka.”

Dalam pada itu, Steffi, 36, turut berkongsi pengalamannya dan halangan yang dilalui serta bagaimana dia mengatasi kesukaran itu untuk terus berada dalam sukan ini.

“Ketika saya bermula, keyakinan saya berbeza berbanding sekarang. Sebagai wanita dalam sukan yang didominasi lelaki, anda akan ditanya perkara seperti ‘Adakah anda pasti boleh bermain bola sepak, bolehkah anda menendang bola atau adakah anda pasti ini sukan yang anda mahu mainkan?’. Perkara seperti ini melemahkan semangat.

“Tetapi ia membuatkan saya mahu membuktikan mereka salah dan menjadi lebih baik di atas padang. Tahun demi tahun apa yang saya mahu lakukan adalah untuk menjadi lebih baik, memperbaiki diri dan saya berterima kasih kepada PFAM dan adidas kerana mahu membantu golongan wanita berjaya dalam sukan ini,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN