Teori konspirasi: Antara fakta dan kisah dongeng

Teori konspirasi: Antara fakta dan kisah dongeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HALAMANNYA cuma 142, namun padat dengan maklumat dan penjelasan yang berpaksikan kepada fakta dan rasional.

Buku Mencabar Teori Konspirasi tulisan bersama Ibn Jawi dan Ayman Rashdan Wong ini membawa pembaca untuk menghormati ilmu dengan tidak mudah mentafsirkan sesebuah perkara mengikut acuan sendiri, sebaliknya perlu berpandukan disiplin dan undang-undang ilmu apatah lagi yang membabitkan agama kita.

Saya tertarik untuk berkongsi beberapa petikan penting sinopsis buku ini.

“Teori konspirasi. Kini seolah-olah menjadi fardhu ain bagi setiap rakyat Malaysia yang beragama Islam. Ia dibicarakan seperti bakal penyelamat ummah. Ada beratus buku best-seller lahir seperti cendawan selepas hujan.

“Ustaz-ustaz yang membahaskannya pula mengecapi kemasyhuran dan pengikut yang tidak mampu mereka bayangkan. Tapi nanti dulu, ada sesuatu yang tidak kena pada teori dipeluk umat sejagat. Teori ini tidaklah sesuci yang dibayangkan. Teori ini ada sisi gelap yang menunggu masa untuk dibongkarkan,”

Ini realiti sedang kita hadapi ketika ini, lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai platform media sosial seperti TikTok.

Sesiapa sahaja boleh bercakap apa yang mereka inginkan tanpa tapisan.

Jangan ingat teori konspirasi ini tidak berbahaya kerana ia dapat mempengaruhi pemikiran orang lain untuk bertindak secara ganas dan agresif, contohnya peristiwa yang berlaku pada 18 Januari 2018 dulu.

Dua beranak yang merupakan petugas kesihatan untuk vaksinasi polio di Wilayah Quetta, dibunuh militan Taliban di Pakistan kerana mereka mendakwa bahawa vaksin tersebut merupakan agenda Freemason atau Iluminati untuk melemahkan umat Islam.

Maka, jangan sesekali kita beranggapan bahawa teori konspirasi ini, isu remeh.

Naskhah ini dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Risalah Timbangan Dalam Ilmu Fitan oleh Ibn Jawi, manakala bahagian kedua ialah Siri Bedah Konspirasi oleh Ayman Rashdan Wong yang membicarakan berkenaan Freemason dan Illuminati, menjawab persoalan berkenaan benarkah Yahudi menguasai Dunia? Membongkar Realiti di sebalik New World Order serta perkaitan antara teori konspirasi dengan Israiliyyat moden.

Rata-rata rakyat Malaysia suka memfokuskan kepada teori konspirasi berkaitan Freemason.

Kumpulan ini kedengaran mengerikan namun ia tidaklah lebih kepada sebuah kelab elit untuk bersosial sahaja.

Hanya kerana ramai orang ternama merupakan Freemason, ia tidak bermakna terdapat konspirasi dalam kalangan mereka.

Malah, berdasarkan buku ini, ahli Freemason juga berbalah antara satu sama lain.

Semasa Revolusi Amerika (1775-1783), Freemason di Amerika Syarikat turut berpecah kepada kumpulan, disebut Loyalist iaitu yang setia kepada penjajah Inggeris dan Patriots, mereka yang menuntut kemerdekaan Amerika.

Saya yakin ramai dalam kalangan pembaca tidak mengambil perhatian berkenaan fakta penting ini.

Maka eloklah kalau buku ilmiah seperti ini dijadikan sebagai antara bahan bacaan kita.

Selain dapat memberi ilmu baharu bahkan dapat mendisiplinkan kita dalam menilai sesebuah perkara.

Setiap perkataan dalam buku keluaran The Patriots ini juga amat mudah difahami. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya