Subuh seperti Jumaat kerana Tuhan atau artis?

Subuh seperti Jumaat kerana Tuhan atau artis?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Niat adalah sesuatu yang boleh dipupuk dengan latihan, didikan dan teguran berterusan. Semasa kecil dahulu solat kita tidak sempurna. Buat pun acuh tak acuh kerana disuruh ibu ayah. Namun, setelah usia dan ilmu meningkat keikhlasannya semakin subur.”

Benar! Niat sangat penting dalam Islam. Apa sahaja kerja ibadat yang didirikan tidak membawa apa-apa makna jika niatnya rosak atau terpesong.

Niat umpama alamat pada sampul surat. Mana mungkin surat sampai ke destinasi yang diidam jika alamatnya salah atau kosong.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya semua amalan (dinilai Allah) berdasarkan niat, dan bagi setiap orang apa yang diniatkannya.

Sesiapa yang hijrahnya kerana (tujuan) mendapat dunia yang dicarinya atau kerana wanita yang dikahwininya, maka hijrahnya itu diperolehi berdasarkana apa tujuan hijrahnya. (Sahih al-Bukhari, 3898).

Kempen terbaru subuh seperti Jumaat yang digerakkan di seluruh negara agak memberangsangkan. Masjid yang suram ketika waktu subuh menjadi terang berseri dengan susunan saf yang penuh.

Usaha ini wajar dipuji kerana ia mengangkat syiar agama yang penting. Solat Subuh berjemaah di masjid ada banyak kelebihan.

Antaranya Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menunaikan solat subuh maka dia berada dalam jaminan (jagaan) Allah. (Sahih Muslim, 657).

Dalam hadis, Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, pahalanya seperti menghidupkan separuh malam. Manakala sesiapa yang solat Ssubuh berjemaah, pahalanya seperti menghidupkan seluruh malam. (Sahih Muslim, 656).

Solat subuh juga disaksikan kemuliaannya oleh para malaikat. Ia berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Dirikanlah solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) solat subuh kerana sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (keistimewaannya). (al-Israk: 78)

Ketika menjelaskan makna pensaksian malaikat terhadap solat Subuh, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Para malaikat datang silih berganti pada kalian pada waktu malam dan waktu siang. Mereka berkumpul ketika waktu solat subuh dan Asar. Kemudian yang menjaga kalian di waktu malam naik. Kemudian Allah Yang Maha Mengetahui urusan mereka, bertanya kepada malaikat-malaikat tersebut, “Bagaimanakah keadaan hamba-Ku ketika kalian tinggalkan? Mereka menjawab, “Kami tinggalkan mereka ketika mereka sedang solat dan kami datang juga ketika mereka sedang solat”. (Sahih al-Bukhari, 522 & Sahih Muslim, 1001).

Solat Subuh berjemaah yang berisi dengan doa qunut sebenarnya sangat bagus untuk permulaan hari kita. Jika kita hayati makna setiap patah doa qunut itu kita akan ketagih limpahan rahmat Allah untuk awal pagi kita. Pada qunut itu ada permohonan petunjuk, bimbingan, jaminan keselamatan dan santunan dari Allah.

Ini penting kerana kita sangat memerlukan semua itu sepanjang masa. Keputusan harian kita akan tepat, tindakan kita berada dalam bimbingan Allah, bencana buruk juga boleh terhindar kerana keberkatan doa qunut.

Selain itu, waktu awal pagi turut dilimpahi banyak keberkatan kerana baginda SAW mendoakannya secara khusus yang bermaksud: Sakhr al-Ghamidi meriwayatkan nabi berdoa: “Ya Allah! Berikan keberkatan pada umatku pada awal paginya.” Apabila mahu mengutus pasukan tentera (kecil atau besar), Rasulullah biasa mengutus di awal pagi. Sakhr adalah seorang peniaga dan biasa mengutus urusan niaganya pada awal pagi.

Berikutan itu hartanya menjadi subur dan banyak. (Sunan Abi Daud, 2239 & Sunan al-Tirmidzi, 1133).
Solat Subuh berjemaah di masjid seumpama mendaki gunung yang tinggi. Ia memerlukan stamina iman yang tinggi. Apa tidaknya, kita terpaksa berhempas pulas melawan rasa mengantuk di awal pagi, menahan sejuk badan disirami air dan bersungguh mengatur langkah ke masjid dalam gelap dingin pagi.

Jika Solat subuh dengan segala cabarannya mampu ditakluki, pastinya solat lain menjadi lebih mudah dipeluk iman. Ini sebabnya Nabi SAW menegaskan solat Subuh dan Isyak berjemaah di masjid adalah solat yang sukar dilakukan oleh orang munafik.

Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya solat yang paling sukar dilakukan oleh orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh. Jika mereka tahu kelebihan keduanya pasti mereka akan menunaikannya walaupun terpaksa datang secara merangkak. (Sahih Muslim, 651).

Pun begitu ada juga yang sinis berkata – kita hadir subuh kerana Allah! Bukan kerana kempen ‘Subuh Perdana’ atau bukan kerana mahu kelihatan dalam swafoto bersama selebriti.

Aduhai! Tidak salah menegur, namun teguran biarlah lembut menggosok belakang bukan perit menampar muka. Tahap iman manusia itu berbeza. Urusan niat orang tidak mampu kita teka kerana hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam jiwa orang. (surah Ghafir: 19)

Mana tahu, awalnya orang berkerumun ke masjid untuk menumpang populariti si artis, namun selepas merasai sendiri nikmat tenang lapangnya Subuh berjemaah mereka boleh istiqamah pula berdamping dengan masjid seumur hidup.

Strategi dakwah itu berbagai bentuk, sekurang-kurangnya si artis sudah menjentik sesuatu ke dalam hati umat Islam. Jika sekadar satu peratus sahaja yang kekal turun subuh berjamaah di surau masjid hasil kempen tersebut, pahalanya sudah cukup mahal buat penaja kempen berbanding kata sinis sesetengah pihak. Jadilah pembantu kebaikan dan bukannya pembantu syaitan.

Pernah orang ramai mengadu kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab tentang tingkah laku seorang lelaki yang gemar melakukan maksiat. Umar lantas menghantar surat menasihatinya dengan iringan ayat 3 surah Ghafir.

Setelah menerima surat ‘Umar, lelaki tersebut menangis insaf. Umar lantas berkata: Beginilah caranya apabila kalian melihat saudara kalian tergelincir. Tegur dan perbetulkan dia. Juga berdoalah kepada Allah agar dia bertaubat dan jangan pula kamu menjadi pembantu syaitan yang tambah merosakkannya”. (Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran Ghafir: 3)

Penulis ialah Timbalan Pengarah, Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya