#RoadToBertiga, itu doa kami setiap tahun - Izzue Islam - Utusan Malaysia

#RoadToBertiga, itu doa kami setiap tahun – Izzue Islam

Izzue islam
Izzue islam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Tanda pagar itu hanyalah satu doa sempena tahun baharu. Sekiranya Tuhan permudahkan, kami terima dengan hati terbuka.”

Itu jawapan artis serba boleh, Izzue Islam, 34, kepada Utusan Malaysia apabila ditanya berhubung tanda pagar #RoadToBertiga yang dimuat naik sebagai kapsyen di hantaran terbaharunya semalam.

Jelas pelakon Risik Pada Hati itu, dia seperti pasangan berkahwin lain tetap mendoakan agar Tuhan mengurniakan rezeki cahaya mata dan mengharapkan yang baik-baik sahaja untuk kelangsungan hidup berumah tangga.

“Sama sahaja doa kami saban tahun, memang akan terselit harapan untuk Tuhan memudahkan urusan memiliki cahaya mata. Tetapi kami hanya mampu berusaha, Dia juga sebaik-baik perancangkan.

“Kalau bertanya tentang rawatan IVF, kami tidak menolak dan bersedia sahaja. Tetapi bergantung juga kepada jadual dan komitmen kerjaya yang telah dipersetujui awal,” katanya yang juga seorang pengacara.

Untuk info, Izzue dan isterinya, Awin Nurin, 41, mendirikan rumah tangga pada 2 Jun 2013.

Sementara itu, penyanyi lagu Sahabat itu dalam pada masa sama berterima kasih di atas doa-doa peminat dan mereka terdekat yang sentiasa mendoakan perkara terbaik berlaku dalam hidup mereka.

“Bila baca komen, sebak rasanya. Ramai yang mengaminkan doa kami. Tidak hanya berkaitan zuriat, kami juga mendoakan agar tahun baharu ini membawa lebih berkat dan rahmat dalam setiap apa yang dilakukan.

“Dalam pada masa sama, kami juga mendoakan perkara yang baik juga kepada mereka yang sama-sama dalam penantian untuk mendapatkan cahaya mata dan rezeki-rezeki lain. Semoga Allah makbulkan doa kita semua,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN