Agensi kesihatan PBB kesal tiada akses bantuan kemanusiaan

Agensi kesihatan PBB kesal tiada akses bantuan kemanusiaan

KOMPLEKS Perubatan Nasser adalah salah sebuah hospital yang menyediakan talian hayat kepada penduduk di Gaza.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kecewa dengan masalah akses ke Gaza bagi penghantaran bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan oleh penduduk Gaza pada waktu peperangan sengit di bahagian selatan wilayah Palestin itu.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Ghebreyesus berkata, bantuan ke Gaza terus menghadapi cabaran yang hampir tidak dapat diatasi.

Katanya, pihaknya mempunyai kapasiti untuk menghantar bantuan, namun, ia tergendala berikutan kekurangan akses ke Gaza.

“Kami mempunyai bekalan, pasukan dan rancangan. Apa yang kita tidak ada ialah akses. PBB dan rakan-rakannya bersedia sepenuhnya untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin Gaza.

“Kami menyeru Israel untuk meluluskan permintaan daripada WHO dan rakan kongsinya untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan,” kata Ghebreyesus.

Pihak berkuasa Israel berulang kali enggan membenarkan pasukan bantuan PBB menyampaikan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan ke Gaza.

Penyelarasan Aktiviti Kerajaan Israel di Wilayah Palestin, atau COGAT, berulang kali menyalahkan badan dunia itu kerana gagal menghantar bekalan pada kadar yang cukup pantas.

Ketua COGAT, Moshe Tetro menafikan sebarang kesesakan di pihak Israel yang menghalang bantuan daripada sampai ke kawasan yang terkepung itu.

“Masalahnya terletak pada organisasi antarabangsa yang memproses dan menerima bantuan itu,” katanya menurut The Times of Israel.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Wilayah Palestin, Richard Peeperkorn pula mendakwa bahawa PBB beroperasi dalam ruang kemanusiaan yang semakin mengecil.

Kata Peeperkorn, sepatutnya ada lebih banyak jalan untuk masuk ke Gaza.

Agensi kesihatan PBB berkata, enam misi kemanusiaan ke utara Gaza di mana keadaan paling teruk di tengah-tengah keruntuhan sistem penjagaan kesihatan dibatalkan sejak 26 Disember lalu kerana kekurangan kebenaran yang diperlukan untuk meneruskan dengan selamat.

“Jika anda tidak mendapat kebenaran, anda tidak boleh bergerak, dan permintaan kami telah berulang kali ditolak,” kata Peeperkorn.

Peeperkorn menambah, pegawai WHO juga menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan keruntuhan perkhidmatan hospital di selatan dan tengah Gaza, ketika pertempuran semakin sengit dan ratusan kakitangan perubatan dan pesakit melarikan diri dari kemudahan perubatan.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku di kawasan tengah dan selatan,” kata Peeperkorn.

Tiga hospital yang terletak berhampiran zon pemindahan, Hospital Gaza Eropah, Kompleks Perubatan Nasser dan Al-Aqsa, menyediakan talian hayat kepada kira-kira dua juta orang.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya