Pemilik gudang perlu bertanggungjawab, maklum jenis barangan elak risiko

Pemilik gudang perlu bertanggungjawab, maklum jenis barangan elak risiko

AWANG Hidzel Awang Bujang (kiri) meninjau kebakaran sebuah kilang kitar semula di Bukit Selambau, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pemilik kilang atau gudang perlu bertanggungjawab dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyelamat sekiranya berlaku kebakaran bagi mengelak risiko dan ancaman kepada anggota bertugas serta kawasan persekitaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, kegagalan mereka berbuat demikian akan mengundang risiko kepada anggota yang menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Jika beri kerjasama dengan memaklumkan bahan yang ada di dalam premis itu akan memudahkan proses memadam kebakaran kerana kita boleh terus menggunakan kaedah yang sesuai dengan keadaan semasa.

“Ini bagi mengelak risiko pegawai dan anggota penyelamat terdedah kepada bahaya berbanding dengan penyelamatan yang dilakukan di dalam premis terbakar yang kosong,” katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran sebuah kilang di Bukit Selambau, hari ini.

Semalam, akhbar ini memaklumkan kebakaran besar yang turut melibatkan letupan dan percikan seperti bunga api di sebuah kilang kitar semula mencemaskan penduduk sekitar.

Sementara itu, Awang Hidzel berkata, pemantauan di lokasi kejadian mendapati banyak kelongsong bateri yang ditemukan bertaburan di kilang berkenaan.

“Kebakaran kilang barangan kitar semula ini melibatkan banyak jenis barangan termasuk bateri-bateri kecil dan kita tidak menolak kemungkinan letupan dan percikan bunga api yang terjadi sewaktu kebakaran malam tadi berpunca daripada bateri tersebut.

“Mungkin juga ada barangan lain di dalam premis ini tetapi demi keselamatan petugas kita belum dapat masuk ke bahagian dalam bangunan disebabkan asap tebal serta masih berlaku letupan kecil sehingga sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kebakaran terbabit.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk yang sentiasa cakna dengan persekitaran dan bertindak segera menghubungi bomba bagi melaporkan kejadian. Cuma harap jangan buat spekulasi berhubung kejadian dan sebaiknya tunggu kenyataan rasmi daripada kami,” katanya.

Tambahnya, seramai 60 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, BBP Sungai Petani, BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Yan ditugaskan ke lokasi sejak malam tadi selain dibantu 14 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya