JAKARTA: Penyanyi Indonesia, Nadin Amizah menyifatkan tindakan segelintir yang merakam gambar dan videonya secara diam-diam sebagai menyeramkan dan mengundang perasaan tidak selesa.
Jelasnya, dia merasa sedih kerana tidak lagi boleh menjalani kehidupan seperti manusia normal apatah lagi apabila dirakam tanpa kebenaran tatkala melakukan aktiviti harian.
“Sangat menyedihkan apabila saya dirakam tanpa izin ketika melakukan aktiviti seperti manusia biasa. Pergi tandas, pergi klinik, jalan-jalan atau keluar makan juga ada yang rakam senyap-senyap.
“Bayangkan satu ketika saya sedang masuk kereta dengan terburu-buru masih ada yang meletakkan kameranya di cermin kereta. Itu sangat menyeramkan!” ujar penyanyi itu.
Tambah penyanyi Rayuan Perempuan Gila itu, dia kebelakangan dia mula diserang perasaan berdebar dan gementar apabila ternampak sekumpulan orang merakam gambar atau videonya dari jauh secara diam.
“Hati saya mula meraung-raung tidak mahu diperlakukan sebegitu. Terasa seperti menjadi tontonan walaupun tidak di pentas nyanyian. Dilema saya. Ada kala perlu perhatian itu, tetapi semakin menyeramkan.
“Bagi saya, cukuplah jika peminat menghargai muzik dan karya saya. Cukup jika meminta izin sebelum mengambil gambar atau video. Biarlah mereka menjadi peminat lagu-lagu saya,” ujar penyanyi Sorai itu.