Jangan berkira beli batik – Nori

Jangan berkira beli batik – Nori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dahulu, penampilan figura berusia 47 tahun ini tidak pernah lekang daripada batik.

Jika bukan berbaju kurung atau blaus, pilihannya pasti celana batik yang selesa bagi memudahkan pergerakan.

Sekurang-kurangnya empat kali seminggu, Nori Abdullah menggayakan ‘seragam’ itu sama ada ketika urusan kerja atau keluar bersantai. 

“Berapa banyak batik dalam koleksi Nori,” tanya saya.

“Banyak. Sukar untuk beritahu angka yang tepat,” katanya tersenyum pada pertemuan bersama Seri selepas acara amal, Batik Explosion di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Pengerusi Yayasan Budi Penyayang (Penyayang) yang saya temui petang itu, manis menggayakan blaus batik motif abstrak berwarna coklat hitam digandingkan dengan celana rona hitam.

Solekan ringkas menceriakan lagi jelapang wajahnya yang sedia manis dengan dadanan rambut kemas.

Kongsi Nori, hampir 50 peratus daripada pakaian dalam almarinya adalah batik tempatan.

Sebagai pewaris legasi Allahyarham bondanya, Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, Nori mahu memastikan batik Malaysia terus subur dan lestari.

“Semua orang tahu keluarga saya akrab dengan batik, malah kawan-kawan selalu mengusik ‘uniform’ saya adalah batik.

“Sudah namanya peminat tegar, walaupun di luar waktu kerja, saya tetap pakai batik sebab rasanya yang selesa,” katanya. 

DULU TERPAKSA, KINI CINTA

Mengimbau mengenai penglibatan dalam dunia batik, Nori mengakui pada peringkat awal beliau seolah-olah terpaksa untuk menyukainya.

Bahkan, secara peribadi tidak begitu minat pada tekstil itu.

“Ya, dulu saya ‘terpaksa’ terima pendedahan dan tunjuk ajar daripada arwah emak.

“Tetapi, apabila saya cuba hayatinya, berdamping dengan pereka dan alumni Penyayang, lama-kelamaan timbul rasa cinta kerana saya sedar, batik itulah identiti kita.

“Lihatlah, kedudukan batik sekarang, makin popular kerana warna, corak, unsur dan rekaannya yang moden serta mampu memikat hati ramai termasuk generasi muda,” katanya. 

 

KEGUNAAN BATIK MELUAS

Perjuangan puteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ini dalam memajukan industri batik tempatan tiada titik noktah. 

Antara pencapaian diraih ialah meneruskan tradisi pertandingan batik berprestij di rantau ini, Piala Seri Endon (PSE) hingga edisi ke-19 di samping penganjuran pelbagai aktiviti menyemarakkan khazanah negara itu seperti Batik Fun Walk, Batik Explosion dan Viva Batik Malaysia.

Malah, pengisytiharan 3 Disember sebagai Hari Batik Malaysia oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap antara pencapaian paling berbaloi diraih.

Malah, beliau tersenyum lega apabila kerajaan membenarkan penjawat awam memakai batik pada setiap hari waktu bekerja dan tidak terhad hanya pada Khamis.

Matlamatnya hanya satu, agar batik dapat terus menyerlah di masa depan dan kegunaannya diperluaskan dalam pelbagai bidang dan industri, tidak terikat dengan fesyen semata-mata.

“Usaha ini tidak mudah direalisasikan lantaran ia menuntut kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak termasuk individu dan korporat.

“Begitupun saya terbuka menerima apa jua kandungan atau inisiatif segar berkaitan batik daripada orang luar dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang warisan ini,” katanya.

Penyayang berperanan menjadi pemudah cara dan jambatan buat pihak yang berminat merintis idea luar biasa demi kelestarian batik Malaysia.

“Kami bertanggungjawab meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan, nilai dan potensi batik.

“Siapa tahu, hasilnya kelak mungkin sesuatu yang belum pernah kita  kir atau bayangkan selama ini, sekali gus menampakkan kepelbagaian pada dunia batik tempatan.

 

INDUSTRI BERKEMBANG

Hakikatnya, batik penyumbang tertinggi dalam industri kraf tekstil negara.

Setakat Ogos lalu, nilai jualan batik sebanyak RM67.4 juta atau 80 peratus daripada keseluruhan RM84.2 juta yang direkodkan.

Menurut Nori, perkembangan itu jauh lebih baik berbanding situasi sekitar tahun 90-an dulu.

“Ketika itu, permintaan terhadap tekstil ini rendah dan pembuatannya hanya sinonim dengan orang Melayu di pantai Timur.

“Tetapi kini, batik sudah sebati dengan seluruh bangsa kerana ia melambangkan identiti negara.

“Malah pengusahanya juga meluas dan ada di mana-mana termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya tersenyum.

 

CELIK BATIK BELUM ADA

Walaupun tanpa kajian atau data khusus, pemerhatian di sekelilingnya mendapati minat masyarakat terhadap batik makin melonjak.

Namun, daripada aspek kesedaran pula, Nori meletakkan penilaiannya hanya berada di tahap memuaskan.

“Secara umum, saya tengok kesedaran orang ramai terhadap batik belum lagi mendalam kerana masih ada segelintir yang tidak tahu membezakan antara tekstil tempatan dengan Indonesia.

“Sekalipun individu itu mengaku peminat batik Malaysia, tetapi mungkin tanpa sedar batik yang dibelinya adalah buatan dari luar.

“Justeru, saya amat berharap dari semasa ke semasa kesedaran rakyat akan bertambah baik dalam memahami keistimewaan dan keunikan batik tempatan,” katanya.

Nori berkata, sikap celik batik mampu menyuntik rasa bangga individu ketika memakai tekstil itu. 

Dan pada suatu tahap, batik mampu malar segar sepanjang zaman dan bukan popular untuk masa atau musim tertentu sahaja.

‘JANGAN BERKIRA BELI BATIK’

Batik sering dikaitkan dengan kos yang mahal hingga membebankan pengguna.

Situasi tersebut menyebabkan ramai takut dan menolak untuk membeli batik.

Begitupun kata Nori, isu harga tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana kini, produk berasaskan batik di pasaran makin pelbagai dan boleh disesuaikan dengan poket masing-masing.

“Saya pelik apabila orang kita sendiri kata batik mahal tetapi mereka boleh pula beli jenama mewah keluaran Eropah, Itali dan Perancis.

“Batik ini buatan tangan dan eksklusif, tentulah nilainya tinggi berbanding produk dihasilkan mesin,” katanya meluah reaksi.

Menurut surihati Khairy Jamaluddin ini, batik bukan sekadar fesyen, sebaliknya menjadi medium mempromosikan jati diri dan budaya bangsa.

“Sebagai rakyat Malaysia, tentulah saya mahu menonjolkan asal-usul saya berbanding jenama luar.

“Kita sepatutnya berbangga dengan batik kerana di luar negara pun, rakyat di sana menyokong produk tempatan mereka hingga lama-kelamaan barangan itu popular di seluruh dunia,” katanya.

Beliau optimis mengenai tidak mustahil batik tempatan bertaraf dunia, sekiranya masyarakat membuka mata dan sedia mengubah minda mereka.

 

WANITA PEMALU

Di sebalik kemesraan berucap dalam mana-mana majlis dan acara, ibu kepada tiga anak lelaki berusia antara lapan hingga 16 tahun ini sebenarnya seorang yang pemalu.

Malah, beliau mengakui gementar setiap kali berbicara dalam khalayak yang ramai.

“Orang kata saya nampak lemah-lembut ketika berucap, hakikatnya saya malu dan gementar.

“Tetapi jika orang tidak ramai, saya boleh berbual lama tentang pelbagai topik termasuk bergurau, macam yang kita sedang lakukan ini,” katanya sambil tertawa.

Kata Nori, karakternya itu berbeza dengan suami, Khairy Jamaluddin yang pandai berkomunikasi dengan hadirin dan rakyat.

Namun, di sebalik perbezaan itu, mereka berdua memiliki persamaan iaitu boleh bermain alat muzik iaitu gitar.

PEMINAT K-DRAMA

Gelombang K-drama turut ‘menjangkiti’ Nori. 

Masa terluang semasa pandemik Covid-19 lalu menjadi titik permulaan beliau menonton siri berkenaan.

Minat itu sekali gus mendorongnya mempelajari bahasa Korea bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan.

“Banyak nilai-nilai ada dalam K-drama, cumanya kita kena melekat depan televisyen dan tidak boleh buat kerja lain kerana mahu baca betul-betul setiap terjemahan sebab tidak faham percakapannya. 

“Saya cuba belajar sikit-sikit bahasanya, mana tahu satu hari nanti dapat ke sana, sekurang-kurangnya bolehlah bersembang dengan mereka,” katanya.

Menurut Nori, kali pertama berkunjung ke Korea adalah ketika beliau berusia sembilan tahun semasa percutian bersama keluarga.

 

AIR MATA PALESTIN

Pertempuran di Palestin merenggut jiwa Nori dan setiap hari air matanya tumpah apabila membaca situasi terkini di negara berkenaan.

Ujarnya, kekejaman itu mesti segera dihentikan dan dunia sepatutnya menamatkan perbalahan yang memudaratkan rakyat.

“Bagi saya manusia perlu berhenti mencari salah dan perbezaan antara satu sama lain.

“Seharusnya setiap perbezaan itu diraikan dan cari persamaan. Sebagai ibu yang memiliki anak orang kurang upaya (OKU) saya berharap mentaliti masyarakat tentang isu ini dapat diubah.

“Untuk cari perbezaan memang terlalu mudah dan jika ia berlarutan, bayangkan apa nasib golongan OKU dan yang serba kekurangan nanti?,” ujarnya dalam nada serius. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya