UMNO bersedia hadapi sesiapa sahaja calon PN - Ahmad Zahid

UMNO bersedia hadapi sesiapa sahaja calon PN – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bercakap kepada pemberita selepas lawatan di Tapak Projek Pembangunan Lembangan Sungai Semantang di Kampung Tanjung Kerayong, dekat Mentakab, Temerloh. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: UMNO bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja calon yang diletakkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan berlangsung awal bulan depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuklah bekas ahli UMNO yang disebut sebagai calon PN pada PRK nanti.

“Kita sedia menghadapi siapa sahaja, sama ada bekas daripada parti kita yang mereka khianati ataupun yang telah pun dibatalkan kemenangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Semantan, Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab, di sini, hari ini.

Tambahnya, UMNO juga telah mula melakukan persediaan bagi menghadapi PRK Kemaman dan bersedia mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kempen dan proses pengundian yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, ini termasuklah kemungkinan sekiranya berlaku banjir ketika dalam tempoh berkempen PRK bulan depan.

“Kita akan berunding dengan SPR mengikuti SOP yang baru dan di PPS (pusat pemindahan sementara) itu pada hemat saya yang penting kita hargai, kita santuni mangsa-mangsa banjir itu dahulu,” katanya.

Semalam, BN mengumumkan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon mereka untuk PRK itu.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PN, Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada PRU15 November lalu, Che Alias merampas kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas menewaskan calon BN dan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya