Sari mewah ibarat karya seni

Sari mewah ibarat karya seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMPAMA melihat lukisan berukuran enam kaki apabila motif sama pada kanvas diterjemahkan pada kain sutera.

Sentuhan kreatif yang diketengahkan itu menjadikan setiap sari keluaran jenama mewah, Kimkara memiliki keunikan dan keindahan tersendiri.

Pengasasnya, Shikha Grover berkata, ilham untuk menghasilkan rekaan sari daripada lukisan itu tercetus
kerana cintanya pada seni dan fesyen.

Jelas pereka fesyen dari India itu, kedua-dua elemen tersebut saling memerlukan dan gabungannya terbukti menghasilkan karya agung yang tidak dijumpai di mana-mana.

Terbaharu, sempena koleksi Deepavali, beliau bekerjasama dengan pelukis terkemuka negara
asalnya, Radha Reddy dalam penghasilan 25 helaian termasuk sari dan kurta.

Katanya, koleksi kali ini menampilkan tarian sufi dan potret wanita dengan pemilihan warna-warna
terang serta gelap.

“Ia bukan sekadar sari, sebaliknya karya seni mewah dengan setiap calitan atau garisan yang terhasil pada fabrik kelihatan seolah-olah seperti kanvas.

“Ada kalanya saya bermain dengan interpretasi ketika menterjemahkan setiap karya lukisan, jadi sebab itulah tempoh selama setahun diambil bagi menyiapkan koleksi Kimkara.

“Manakala, jahitan dan sulaman pula dibuat dengan teliti, penuh kasih sayang dan berhati-hati oleh tukang jahit berpengalaman di India bagi mengekalkan keaslian,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dazzling Deepavali di pusat beli-belah Intermark baru-baru ini.

MAHU SARI DIWARISI
Sejak penubuhannya lima tahun lalu, Kimkara hanya memfokuskan pada fabrik sutera dalam penghasilan sari dan pakaian kasual lain seperti kaftan, tunik, jaket dan skarf.

Walaupun seni di atas sutera tidak mudah tetapi Shikha mempunyai alasan tersendiri kenapa memilih
material tersebut.

“Saya boleh gunakan linen tetapi bagi membolehkan sari Kimkara diwarisi dari generasi ke generasi, sutera adalah pilihan yang tepat.

“Kualiti dan mutu sutera tiada tandingan sekali gus mampu menonjolkan lagi keindahan dalam setiap
rekaan ‘bespoke’ saya,” katanya.

Harga sari keluaran Kimkara bermula dari RM2,000 hingga RM8,000.

SARI TIDAK AKAN MATI
Koleksi sari Kimkara yang unik, diyakini mampu menarik minat pelbagai bangsa termasuk generasi muda untuk memakai busana tradisi masyarakat India.

Kata Shikha, busana itu tidak akan ‘mati’, sebaliknya akan terus hidup dan digayakan di seluruh dunia.

Bahkan, ujarnya, ketika ini pemakaian sari sudah menjadi trend termasuk di Eropah.

“Jangan takut untuk menggayakan sari kerana pemakaiannya tidak lagi bosan seperti dahulu kala
yang menuntut pelbagai lapisan dan lilitan yang memeningkan.

“Kini, kunci utamanya ialah cepat dan mudah, malah anda boleh memakai sari dengan hanya menggunakan baju top dan skirt atau jeans kegemaran.

“Yang diperlukan cuma kain sari sepanjang enam kaki dan dilapiskan pada seluar sebelum disilangkan di badan, mudah bukan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×