Patutnya 'rama-rama' Aina Abdul boleh bergerak - Melinda Looi

Patutnya ‘rama-rama’ Aina Abdul boleh bergerak – Melinda Looi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Busana rama-rama yang dipakai Aina Abdul ketika konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 baru-baru ini sepatutnya boleh bergerak di bahagian bawah.

Namun, hasrat itu tidak dapat direalisasikan pereka fesyen, Melinda Looi akibat kesuntukan masa.

Menurutnya, tempoh 14 hari diambil untuk menghasilkan busana rama-rama berwarna pic itu.

“Aina mahukan baju yang luar biasa, boleh ‘terbang’ tetapi cantik, jadi saya katakan padanya konsep rama-rama.

“Dalam masa sama, rama-rama turut melambangkan dirinya yang dahulu merupakan ‘budak kecil’ dalam industri nyanyian tetapi kini bergelar ‘ratu’ selepas keluar dari ‘kepompong’.

“Jika saya ada masa yang lebih panjang untuk membuatnya, bahagian bawah baju itu sepatutnya boleh bergerak,” katanya kepada pemberita dalam majlis Melinda Looi Fashion Suites di Bangsar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai busana Aina yang disifatkan oleh segelintir netizen bagai ‘rama-rama patah sayap’.

Selain busana itu, Aina turut menggayakan empat persalinan eksklusif lain dalam konsert yang berlangsung di Axiata Arena pada Sabtu lalu.

Menurut Melinda, abah-abah turut dipasang pada busana itu bagi memastikan kedua-dua sayap kembang dengan cantik.

Selain itu, katanya, sentuhan skirt berpotongan ‘sotong’ melengkapkan lagi keseluruhan gaya rama-rama.

“Saya gelarkan potongan sotong kerana ada lapan keping kain sunray pleat yang dijahit untuk skirt.

“Untuk pemilihan warna pula, saya dapat inspirasi itu daripada warna mikrofon baharu Aina,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, harga busana rama-rama itu mencecah lebih RM70,000 kerana melibatkan perincian yang banyak dari segi jahitan manik di samping manipulasi fabrik organza dan sifon.

Namun, beliau menyifatkan Aina sebagai selebriti yang baik hati dan rendah diri kerana tidak pernah sesekali meminta tajaan daripada pereka fesyen, sebaliknya sanggup membayar setiap kos busana yang diinginkan.

Sehingga kini, Melinda Looi sudah menghasilkan sebanyak 10 busana avant garde untuk Aina termasuk berkonsepkan awan pada Anugerah Juara Lagu ke-37 lalu.

Baginya, tiada istilah susah dalam menyelesaikan setiap permintaan ‘aneh’ penyanyi itu kerana secara tidak langsung mencabar dirinya melakukan perkara di luar kebiasaan sekali gus dapat memperbaiki diri. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya