KKR siasat, sedia laporan kes kerani maut langgar lubang - Utusan Malaysia

KKR siasat, sedia laporan kes kerani maut langgar lubang

Langgar lubang
ALEXANDER Nanta Linggi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, WCE di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang menjalankan siasatan dan laporan terperinci mengenai kemalangan tragis seorang kerani yang maut digilis treler selepas terlanggar lubang besar di Batu 5, Jalan Meru, Klang, kelmarin.

Ia turut melibatkan perbincangan dalaman berkaitan pampasan kepada keluarga mangsa selepas memperoleh laporan tersebut kelak.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menzahirkan simpati dengan pihak yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Jelas beliau, soal berkaitan mahu mengambil tindakan undang-undang merupakan hak rakyat dan terserah kepada mereka.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dijalankan pihak kementerian setakat ini.

“Berkaitan pampasan kepada keluarga, perkara itu juga akan dibincangkan di peringkat dalaman dan kita perlu mengikut prosedur yang ada, ” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Seksyen 6 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Plaza Tol Assam Jawa, hari ini.

Kematian Allahyarham Syed Asnan Sayed Mokhtar, 37, kira-kira pukul 9 pagi itu dilaporkan mendorong ahli keluarga mangsa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib.

Isteri mangsa, Suhaini Abu Bakar, 41, berkata, tindakan undang-undang itu dianggap wajar memandangkan insiden yang menimpa suaminya menyebabkan dia telah kehilangan tempat bergantung, manakala empat anak mereka pula bergelar yatim dalam sekelip mata. 

Pengguna jalan raya menggesa pihak berwajib untuk membaik pulih laluan di persimpangan lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru itu yang sebelum ini hanya sebahagian bahu jalan sudah diturap dengan tanah dan batu.

Penunggang motosikal bagaimanapun masih ragu-ragu akan ketahanan turapan tersebut.

Dalam pada itu, Alexander Nanta turut memaklumkan beliau akan meneliti pemberian pampasan kepada keluarga mangsa.

Mengulas lanjut, kata Alexander Nanta, beliau tidak mengetahui dakwaan jalan berkenaan mengalami kerosakan sejak tiga tahun lalu.

“Saya tidak tahu perkara (jalan) itu rosak dan kita tunggu siasatan dilakukan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya memang akan melakukan turapan jalan yang rosak menerima sistem aduan MyJalan. 

“Setakat ini, kita sudah menerima kira-kira 4,000 aduan berkaitan masalah jalan di seluruh negara. Faktor Monsun Timur Laut (MTL) juga mungkin antara faktor jalan menjadi rosak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya