DEWAN RAKYAT: Nak dapat peruntukan tidak perlu jilat Perdana

DEWAN RAKYAT: Nak dapat peruntukan tidak perlu jilat Perdana Menteri -Anwar

ANWAR Ibrahim pada sesi pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini. - GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada pembangkang bahawa mereka tidak perlu memuji-muji beliau semata-mata untuk mendapat peruntukan.

Perdana Menteri berkata, permohonan peruntukan boleh dirunding dengan baik tanpa menyinggung mana-mana pihak.

“Saya tak kata syaratnya mesti sokong atau jilat Perdana Menteri seperti mahu jilat macam perangai walaun yang jilat tanpa sanggup berdebat dalam hal ini dan hanya menghina, jadi pembangkang bertanggungjawab, bagaimana pergi mana-mana kata kami ini (kerajaan) bukan Melayu, bukan Islam.

“Doa melaknatkan orang, kemudian suruh berunding dengan baik, beradab dan berakhlak, jadi, saya nak tegaskan walau apapun diucapkan, kita tak menghalang daripada perundingan untuk kembalikan peruntukan kepada semua wakil rakyat,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Namun, katanya, permohonan peruntukan perlu mematuhi peraturan berdasarkan perbincangan dan rundingan.

“Setakat bincang dengan Timbalan Perdana Menteri kedua (Datuk Seri Fadillah Yusof), tidak ada (syarat) wajib menyokong Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan, tidak ada. Ini bincang pun tidak, sombong bukan main.

“Saya sebagai ketua pembangkang dulu, Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memang tak mahu jumpa, dia ada di kelas lain, tapi Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dia jumpa, kita bincang, jadi saya tak ada masalah, tak rasa terhakis pengaruh atau kedudukan,” katanya.

Tambahnya, beliau bagaimanapun tetap terbuka untuk berbincang dalam soal peruntukan.

“Saya tidak ada sikap untuk nak benci, tidak ada, tapi sikap itu harus juga reciprocal (berbudi bahasa), saya bukan kata mesti sokong Perdana Menteri dan jilat, tak pernah saya macam itu.

“Tapi, kalau beri ruang dan ikhlas, saya pun begitu. Jadi, sudahlah, ini tiap kali kata nak cukup jumlah, nak ambil alih. Tak apa, perlembagaan membolehkan tapi tak usah hina sampai soal akidah kita sampai tak ada harga langsung dalam kempen-kempen, tak boleh,” katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan tetap menjemput kedua-dua menteri besar di Perlis dan Kedah ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin semalam walaupun mereka tidak diundang pada awalnya.

“Perdana Menteri Thailand juga tidak mengundang mereka makan tengah hari, saya beri nota kepadanya, minta mereka disamakan dalam jawatankuasa itu, kerana saya tahu had saya, saya boleh berbeza pendapat dari segi politik, tapi saya iktiraf kedudukan mereka dipilih sebagai menteri besar Kedah dan Perlis.

“Jadi, ada hadnya, jangan hina lebih daripada itu, saya juga tahu had saya. Dalam rundingan dengan Perdana Menteri Thailand, jarang kita bawa pembangkang. Semasa Kota Bharu jadi menteri dalam kerajaan-kerajaan luar, tidak pernah wakil pembangkang dibawa. Saya bawa wakil, jadi jangan cakap houlier than thou (lebih baik dari orang lain), jadi saya harap semangat itu ditunjukkan,” katanya.

Katanya, peruntukan untuk projek-projek seperti tebatan banjir di Kelantan juga diutamakan kerajaan persekutuan.

“Kita bagi keutamaan lebih daripada tempat lain kerana kesan banjir di Kelantan, tapi kalau cerita seolah-olah tidak mendapat faedah, ditindas, ini tidak benar.

“Soal peruntukan ada jalan keluar, kalau tanya nasihat saya, rundinglah dulu dengan Timbalan Perdana Menteri, carilah penyelesaian yang baik,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya