Video tular : Bendera China dikibarkan peserta negara itu

Video tular : Bendera China dikibarkan peserta perarakan negara itu

PESERTA dari China dilihat mengibatkan bendera negara mereka pada Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa Negeri Sembilan yang berlangsung di Seremban kelmarin. Turut kelihatan bendera Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Video tular di media sosial TikTok memaparkan peserta mengibarkan bendera China ketika berlangsungnya Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa Negeri Sembilan di daerah ini kelmarin bukan dilakukan rakyat negara ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perarakan berkenaan yang turut mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Perarakan kebudayaan antarabangsa ini berlangsung kelmarin. Ada pemakluman dibuat kepada pihak polis dan mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS). 

“Bagaimanapun, berhubung isu tular itu, pihak kami belum menerima apa-apa laporan polis. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh isu 3R (agama, kaum, diraja),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

PERKAUMAN

Sementara itu,  Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu memberitahu, apa yang dicanang di media sosial adalah berunsurkan perkauman.

Nicole berkata, beberapa video dan gambar yang mula ditularkan di media sosial sejak semalam menimbulkan kegusaran ramai sehingga menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat perarakan itu. 

“Bendera itu dikibarkan peserta dari China ketika perarakan Pesta Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa Negeri Sembilan. Seperti di Sukan Olimpik, kita mengibarkan Jalur Gemilang ketika berarak di dalam stadium. 

“Begitu juga situasi ketika pesta ini. Ia bukan hanya membabitkan peserta dari China malah disertai lima negara iaitu Taiwan, Thailand, Vietnam, Singapura termasuk Malaysia,” katanya.

Terdahulu, dalam video yang tular seorang pemilik akaun di media sosial TikTok meletakkan kapsyen pada video yang berbunyi ‘Perarakan sambil kibar bendera China. Datang anda tidak diundang, pergi anda kami tak hairan. Jika kau bangga dengan negara kau, sila keluar dari negara kami’. 

Tambah Nicole, pesta berkenaan adalah salah satu tarikan pelancongan di Negeri Sembilan yang diadakan setiap tahun.

“Saya harap perkara ini dapat dihentikan kerana bukan hanya menimbulkan rasa tidak aman malah boleh memecah belahkan semangat harmoni yang dibina selama ini. 

“Festival kebudayaan Cina antarabangsa ini  mendapat sambutan hangat daripada peserta Malaysia yang datang dari Pulau Pinang, Kedah dan beberapa negeri lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya