BENTONG: Perikatan Nasional (PN) perlu cermin diri sendiri sebelum menuduh jentera dan aset kerajaan disalahgunakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana terdapat pemimpin PN juga menggunakan aset kerajaan ketika turun berkempen dalam pilihan raya tersebut.
Katanya, peribahasa ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’ sangat tepat untuk menggambarkan tuduhan oleh PN terhadap pemimpin kerajaan.
“Baru-baru ini, saya lihat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan kemudahan sebagai bekas Perdana Menteri dengan polis pengiring ketika berkempen PRK Pelangai.
“Jadi ini menjawab tuduhan dibuat Tuan Ibrahim (Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man,” katanya ketika ditemui pada turun berkempen di Kampung Lembah Jaya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan PN agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau parti politik yang menyalahgunakan jentera dan aset kerajaan pada PRK DUN Pelangai.
Tuan Ibrahim berkata, SPR juga perlu memantau pengumuman dan pemberian insentif kepada kerajaan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan kepada rakyat sepanjang kempen berlangsung.
Beliau berkata, tatakelola itu jelas bertentangan dengan semangat perjuangan reformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 25 tahun lalu.
Hari pengundian PRK Pelangai akan berlangsung pada hari Sabtu ini, manakala pengundian awal dilakukan secara undi pos dan tiada pusat mengundi awal. – UTUSAN










