MANCHESTER: Andre Onana dan Harry Maguire muncul wira yang tidak disangka ketika Manchester United menumpaskan FC Copenhagen 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi tadi.
Maguire, pertahanan tengah yang sering dikritik penyokongnya sendiri menanduk gol kemenangan tuan rumah ketika permainan berbaki 18 minit.
Onana kemudian menjadi penyelamat United apabila menafikan sepakan penalti Jordan Larsson pada masa kecederaan.
Gergasi Liga Perdana Inggeris itu tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan A, dan kemenangan ke atas Copenhagen penting untuk mengembalikan mereka ke landasan persaingan.

Sebelum perlawanan bermula, United memberi penghormatan kepada legenda kelab, Bobby Charlton, 86, yang meninggal dunia Sabtu lalu.
“Jaringan ini amat bermakna bagi saya.
“Kami sangat memerlukan kemenangan. Penyelamatan yang hebat dan kejayaan ini kami tujukan kepada Sir Bobby dan keluarganya,” kata Maguire kepada TNT Sports.
Sebelum perlawanan bermula, pengurus United, Erik Ten Hag menggesa pemainnya menjadikan Charlton inspirasi mereka selepas permulaan hambar musim ini, namun jurulatih dari Belanda itu kecewa dengan aksi longlai di babak pertama.
Juara Denmark, Copenhagen hampir di depan hanya selepas lima minit perlawanan, namun rembatan Diogo Goncalves terkena tiang manakala United bergelut menembusi pertahanan lawan.

Memasuki babak kedua, United bermain dengan lebih baik dan pada minit ke-72, Maguire berada dalam kotak penalti untuk menyambut hantaran silang Christian Eriksen dengan tandukan padu.
Begitupun mereka hampir dihukum apabila Scott McTominay melakukan terjahan keras ke atas Mohammed Elyounoussi pada masa kecederaan.
Larsson, anak bekas penyerang United, Henrik Larsson tampil mengambil penalti tetapi percubaan padunya ditampan Onana sekali gus disambut dengan sorakan penyokong di Old Trafford.
Kemenangan itu membolehkan United melonjak ke tangga ketiga Kumpulan A, satu mata di belakang pasukan tempat kedua, Galatasaray.
Bayern Munich unggul di tangga teratas dengan mengutip sembilan mata maksimum selepas menumpaskan Galatasaray 3-1. – AGENSI