PETALING JAYA: Pas dan Perikatan Nasional (PN) gagal menjadi semak dan imbang sebagai pembangkang yang berkesan dengan fokus mereka hanyalah mahu mengguling kerajaan.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, Muktamar Pas baru-baru ini juga dilihat sebagai ruang untuk pemimpin mereka terus menipu ahli dengan retorik bahawa kerajaan akan tumbang dalam masa terdekat.
“Mereka berkata kerajaan akan tumbang pada awal tahun, kemudian Mac, seterusnya bulan Jun, selepas pilihan raya enam Negeri, selepas pilihan raya kecil (PRK) Johor dan terakhir PRK Pelangai.
“Namun apa yang berlaku kerajaan perpaduan hari ini semakin kukuh dan diterima rakyat serta turut disokong beberapa Ahli Parlimen pembangkang.
“Kita boleh lihat di parlimen, pembangkang sering mengeluarkan hujah yang dangkal. Gurauan lucah serta isu yang berkait 3R (agama, kaum dan institusi diRaja) cuba dinormalisasi.
“Ada kalanya pembangkang dilihat mengeluarkan kenyataan tegas namun hanya sekadar konten TikTok walaupun tanpa isi,” katanya dalam satu kenyataan.
Razeef berkata, cybertrooper pembangkang juga setiap hari menyebarkan fitnah serta propaganda palsu bagi menarik sokongan. Ini jelas dari pimpinan tertinggi sehingga ‘macai’ bawahan pembangkang hari ini tidak berkualiti.
“Kita tahu tidak banyak yang pembangkang hari ini boleh persoalkan kerana kerajaan perpaduan hari ini sangat ‘perform’ walau negara cuba bangkit pasca pandemik dalam keadaan negara turut terkesan krisis ekonomi global.
“Hari ini juga kita boleh lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin negara paling lantang membela rakyat Palestin serta mengecam kekejaman Israrl.
“Walau mendapat ugutan dari Amerika dan sekutunya, namun beliau memimpin himpunan solidariti dan tegas menyatakan pendirian yang tidak berani dilakukan oleh pemimpin negara lain.
“Ketegasan ini pun dipersoal oleh pemimpin Pas yang mendakwa ia masih tidak cukup sedangkan ketika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Duta Khas ke Timur Tengah, beliau meminta Malaysia tidak mencampuri konflik Asia Barat.
“Kita tahu kerajaan hari ini sangat ‘perform’ namun kita tetap perlukan pembangkang yang boleh menjadi semak dan imbang serta berkerjasama dalam membangunkan negara.
“Melihat keadaan hari ini, kita tidak mempunyai pembangkang tetapi sekumpulan ‘badut sarkas’,” katanya. – UTUSAN










