LIVERPOOL: Liverpool membuat permintaan rasmi kepada badan pengadil, PGMOL untuk mendapatkan audio komunikasi antara pegawai perlawanan ketika pasukan itu kalah 2-1 kepada Tottenham dalam aksi kontroversi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
Dalam perlawanan tersebut, jaringan pembukaan Reds yang disempurnakan Luis Diaz tidak dibenarkan oleh pengadil atas alasan ofsaid.
Penyerang Colombia itu jelas tidak berada pada kedudukan ofsaid ketika meledak gol di minit ke-34, malangnya Video Bantuan Pengadil (VAR) gagal menolak keputusan itu.
Selepas menjalankan siasatan, PGMOL mengakui, jaringan tersebut sepatutnya dibenarkan, dan melabel pegawai VAR, Darren England melakukan ‘kesilapan manusia yang jelas’.
Angkara insiden itu, England dan pembantunya diketepikan daripada mengendalikan sebarang perlawanan hujung minggu ini.
Liverpool dalam satu kenyataan menegaskan, mereka akan meneroka apa sahaja pilihan yang ada untuk mencapai penyelesaian dalam isu ini.
Reds yang tumbang buat kali pertama musim ini tidak hanya melihat jaringan mereka dibatalkan, malah menamatkan permainan dengan sembilan pemain selepas Curtis Jones dan Diogo Jota dibuang padang.
Mereka dilaporkan telah menghubungi PGMOL untuk mendapatkan fail audio perbualan antara England dan rakan-rakannya di lapangan yang tidak disunting.
England dan pembantu, Dan Cook tersilap percaya jaringan Diaz pada mulanya dibenarkan berdiri dan memberitahu pengadil di padang Simon Hooper pemeriksaan mereka telah lengkap.
Liverpool mengeluarkan kenyataan mereka sendiri dengan mengatakan ‘integriti sukan sudah terjejas’. – AGENSI