KUANTAN: Keluarga Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan Imigresen di Myanmar, akan ke negara itu pada Jumaat ini bagi menguruskan jenazah di sana.
Abang mangsa, Muhamad Hasmanizam, 45, berkata, selain pengurusan jenazah, ahli keluarganya juga mahu mangsa mendapat keadilan sewajarnya.
“Jumaat ini kita ke sana (Myanmar), itu jadi matlamat awal (urusan jenazah). Berhubung keadilan, itu nanti kita akan ambil tindakan lanjut sebab dia mati dalam tahanan.
“Hendak cakap sekarang pun bedah siasat belum dibuat sebab waris belum sampai ke sana lagi sebab untuk bedah siasat kena ada persetujuan waris,” katanya di sini hari ini.
Muhamad Hasmanizam berkata, pihak keluarganya pelik dengan keputusan perubatan dari Myanmar yang menyatakan adiknya meninggal dunia akibat sakit jantung.
Ini kerana katanya, mangsa tidak pernah mengalami serangan jantung dan tiada rekod penyakit tersebut.
“Dia seorang kuat bekerja, mesin rumput, angkat barang, kerja Foodpanda semua dia buat,” katanya.
Bercerita kejadian menimpa adiknya, beliau berkata, Allahyarham tidak memberitahu ahli keluarga tentang pemergiannya ke luar negara.
Difahamkan Allahyarham yang berasal dari Tanjung Lumpur di sini menaiki penerbangan ke Bangkok, Thailand sebelum sindiket menculiknya dan membawa mangsa ke Myanmar melalui jalan darat.
Mangsa kemudiannya dikatakan diselamatkan wakil Pertubuhan Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), Azirul Syafiq Sazali di sebuah hotel di Myanmar.
Allahyarham Muhamad Izzat yang berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia melalui sindiket pekerjaan palsu itu kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan Imigresen di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar, 14 Oktober lalu.
Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia empat dan enam tahun. – UTUSAN