Freddie Fernandez gembira pengecualian penuh duti hiburan persembahan artis - Utusan Malaysia

Freddie Fernandez gembira pengecualian penuh duti hiburan persembahan artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden, Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez menyifatkan keputusan kerajaan yang mengecualikan sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan artis tempatan di Wilayah Persekutuan sebagai langkah yang paling ditunggu-tunggu seluruh penggiat seni di negara ini.

Jelas Freddie, bermula tahun depan penganjur sudah boleh menarik nafas lega kerana tidak lagi terbeban dengan duti hiburan yang agak tinggi.

“Itu yang terbaik. Langkah ini akan membuka peluang kepada lebih ramai artis untuk membuat persembahan khususnya di Kuala Lumpur.

“Duti hiburan sebelum adalah sangat membebankan. Apabila pengeculiannya dilaksanakan nanti, penganjur boleh peruntukan bayaran yang lebih berpatutan kepada artis dan tenaga produksi selain tujuan promosi.

“Nescaya industri hiburan akan merudum kalau duit hiburan diteruskan. Sebab itu, kami penggiat seni menyambut baik pengecualiannya seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anwar dalam pembentangan belanjawan semalam memaklumkan pengurangan duti hiburan bagi Wilayah Persekutan dari 25 peratus kepada kadar baharu.

Pengurangan tersebut merangkumi pengecualian penuh duti hiburan bagi persembahan artis tempatan, 5 peratus bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator.

Kerajaan juga bersetuju untuk mengurangkan duti hiburan kepada 10 peratus bagi persembahan artis antarabangsa termasuk acara hiburan, sukan dan permainan serta tayangan filem.

Dalam masa yang sama, Anwar antara lain mengumumkan peruntukan RM160 juta yang boleh dimanfaatkan penggiat seni.

Peruntukan itu merangkumi RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital (DKD), RM90 juta bagi inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) dan RM10 juta untuk Skim Dana Padanan MyCreative.

Freddie menyifatkan peruntukan DKD tahun depan yang berkurangan berbanding tahun ini tidak terlalu mengecewakan.

“Bukan semua penggiat berpeluang menikmati DKD, hanya yang benar-benar layak sahaja. Jadi bagi saya, kadarnya yang berkurangan tidak menjadi isu,” sambunganya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN