PETALING JAYA: Nama Arif Aiman Hanafi terus mendapat perhatian di peringkat Asia selepas jaringannya tersenarai dalam 10 jaringan terbaik bagi aksi kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Kedudukan terkini menyaksikan Neymar mendahului dengan jumlah undian 64 peratus, tempat kedua Talisca 27 % dan Arif Aiman 7 % di tangga ketiga.
Gol pada minit keenam perlawanan yang juga jaringan penyamaan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi ‘kunci’ kebangkitan skuad kendalian Esteban Solari untuk meraih kemenangan pertama 4-2 ke atas BG Pathum United dalam kempen ACL musim ini selepas tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi pertama di gelanggang sendiri.
Jaringan itu terhasil apabila Arif Aiman berjaya melakukan sentuhan pertama yang kemas selepas menerima hantaran jauh dari pemain pertahanan, Jordi Amat sebelum merembat kencang ke gawang BG Pathum United.
Lebih menarik, jaringan pemain berusia 21 tahun itu akan bersaing dengan pemain hebat di liga rantau Asia terutama bintang bola sepak dunia dari Brazil, Neymar yang mewakili kelab Arab Saudi, Al Hilal.
Neymar meledak gol kedua Al Hilal pada minit ke-58 ketika pasukannya mengatasi kelab Iran, Nassaji Mazandaran 3-0 di Stadium Azadi, Iran, 4 Oktober lalu.
Selain Neymar, Arif Aiman juga perlu bersaing dengan lapan pemain ternama lain di liga Asia termasuk Moussa Marega yang mewakili Sharjah FC, Ali Jasim (Air Force Club), Jamshid Iskanderov (Navbahor), Talisca (Al Nassr), Rungrath Phumichantuk (Bangkok United), Paul-Jose M’Poku (Incheon United), Aziz Behich (Melbourne City) dan Kento Tachibanada (Kawasaki Frontale).
Terdahulu, bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) itu disenaraikan dalam kesebelasan pilihan bagi aksi kedua peringkat kumpulan kejohanan tersebut.
Peminat bola boleh membuat undian jaringan terbaik bagi aksi kedua peringkat kumpulan saingan ACL di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). -UTUSAN