Aksi Al Ittihad, Sepahan dibatalkan angkara patung jeneral perang

Aksi Al Ittihad, Sepahan dibatalkan angkara patung jeneral perang

PATUNG Qasem Sulaimani yang diletak di Stadium Naghsh-e Jahan, Isfahan telah menimbulkan kekecohan hingga memaksa aksi Al Ittihad menentang Sepahan ditunda. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISFAHAN, Iran: Perlawanan Liga Juara-Juara Asia antara Al Ittihad menentang Sepahan di Isfahan awal pagi tadi dibatalkan selepas kelab Arab Saudi itu enggan meninggalkan bilik persalinan kerana tuan rumah meletakkan patung Qasem Sulaimani, jeneral perang Iran yang dibunuh di laluan masuk ke padang.

Juara Liga Pro Saudi itu bertandang ke Stadium Naghsh-e Jahan untuk mengharungi aksi Kumpulan C dalam saingan kelab elit Asia tersebut.

Biarpun 60,000 penyokong sudah memenuhi stadium dan nama pemain kedua-kedua telah diumumkan, termasuk bintang besar seperti N’golo Kante dan Fabinho tetapi perlawanan tidak diteruskan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan berkata, perlawanan itu terpaksa dibatalkan atas sebab luar jangka dan keadaan yang tidak dapat dielakkan.

“Kami di AFC sentiasa memastikan komitmen terhadap keselamatan pemain, pegawai perlawanan, penyokong dan semua pemegang taruh yang terlibat.

“Perkara ini akan dirujuk kepada jawatankuasa berkaitan,” menurut kenyataan tersebut

Qasem Soleimani seorang jeneral terkenal dalam Revolusi Islamik Iran telah dibunuh berhampiran Lapangan Terbang Baghdad oleh dron milik Amerika Syarikat pada Januari 2020, dan dia dianggap mati syahid oleh rejim pemerintahan negara itu.

Gambar-gambar dari stadium yang dimuat naik di media sosial menunjukkan patung Soleimani diletak di laluan masuk ke padang dan boleh dilihat dengan jelas oleh para pemain ketika mereka keluar dari terowong.

KEDUDUKAN patung Qasem Sulaimani yang diletak di laluan masuk ke terowong pemain.

Hubungan antara Iran dan Arab Saudi sudah lama tegang dan Liga Juara-Juara AFC musim ini adalah yang pertama sejak 2016 yang menyaksikan kedua-dua negara dibenarkan beraksi menentang satu sama lain di tempat sendiri dan tempat lawan.

Perlawanan antara kelab dari kedua-dua negara itu sebelum ini dilangsungkan di venue berkecuali kerana faktor keselamatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya